Tidak timbul isu pemenang pingat Komanwel sertai Sukma

Ahmad Shapawi - Foto Bernama
Ahmad Shapawi - Foto Bernama
A
A
A

TIDAK timbul sebarang isu di sebalik pemenang pingat di temasya sukan berprestij seperti Sukan Komanwel menyertai Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan membuka tirai Sabtu ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, penyertaan atlet tersebut boleh dijadikan sebagai kayu pengukur kepada atlet sebaya mereka yang bertanding di temasya sukan tempatan itu.

"Kami cuba memberi peluang kepada semua atlet untuk bersaing di Sukma. Ini asas Sukma. Atlet yang berjaya pada Sukan Komanwel bermula dari negeri dan belum pernah mewakili negeri mereka di Sukma.

"Jadi, ini adalah peluang mereka untuk mewakili negeri dan menjadi kebanggaan kepada negeri mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menyambut kepulangan skuad negara yang muncul juara kejohanan Dodgeball Dunia di Kanada, hari ini.

Antara pemenang pingat Sukan Komanwel yang bakal bertanding pada Sukma kali ini adalah penyumbang pingat emas pertama kontinjen negara di Birmingham, Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) dan pemain badminton perseorangan lelaki, Ng Tze Yong yang meraih perak.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Jana Santhiran, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukma berkata, kementerian dan MSN akan memastikan tiada lagi acara digugurkan pada edisi akan datang disebabkan tidak cukup penyertaan.

"Saya rasa kali (tahun) ini sahaja kita hadapi masalah sebegini. Pada masa akan datang, KBS dan MSN akan pastikan semua sukan mempunyai penyertaan mencukupi. Ini disebabkan Covid-19 dan sebagainya. Perlu adil kepada negeri yang tidak dapat mempersiapkan atlet mereka,” katanya.

Sebelum ini, timbul isu pengguguran beberapa acara olahraga dan terjun berikutan tidak cukup penyertaan minimum daripada kontinjen negeri yang bertanding untuk meneruskan pertandingan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun pihak penganjur mengurangkan syarat minimum lapan negeri kepada enam bagi edisi kali ini, penyertaan masih tidak mencukupi untuk meneruskan acara berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!