Untuk berita terkini Sinar Harian, ikuti di Telegram dan TikTok kami
KUANTAN- Pas Pahang menyifatkan perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di sekitar ibu negara, semalam sebagai himpunan yang paling berjaya.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, berdasarkan pengamatan beliau, himpunan itu juga yang paling aman berbanding berapa himpunan yang diadakan sebelum ini.
Menurutnya, himpunan itu mencatat sejarah apabila pelbagai pihak tanpa mengira fahaman politik bersatu menunjukkan ketegasan agar tidak pihak berani mempersendakan atau mencampuri urusan Islam dan sengaja mengacau keharmonian serta perlembagaan yang ada.
"Ini satu isyarat jelas dan besar kita hantar kepada pihak yang cuba ambil peluang dengan kuasa politik yang mereka ada hari ini untuk cuba mengusik apa yang termaktub dalam perlembagaan.
"Suasananya sangat mengujakan dengan sambutan baik semua peringkat malah kehadiran juga mencapai sasaran selain mendapat kerjasama baik pihak keselamatan,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program gotong- royong bersepadu cegah wabak denggi bersama penduduk Kampung Rumbia, Beserah di sini, hari ini.
Andansura berkata, Islam jelas mampu menyatukan dan Pas sudah lama berpegang kepada pendirian itu.
"Pas dah kata, kalau nak bersatu kena atas nama Islam bukan politik atau ideologi..Islam itu penyatuan dan dengan perkembangan ini hasrat untuk melihat Islam memimpin semakin cerah," katanya.