Bekalan elektrik 56 premis judi dipotong

Polis melakukan serbuan di 56 buah premis seluruh Johor menerusi Op Dadu Khas sejak Januari hingga Selasa kerana terlibat dalam kegiatan judi dalam talian.
Polis melakukan serbuan di 56 buah premis seluruh Johor menerusi Op Dadu Khas sejak Januari hingga Selasa kerana terlibat dalam kegiatan judi dalam talian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memotong bekalan elektrik di 56 buah premis di seluruh negeri yang menjalankan aktiviti judi dalam talian bermula Januari hingga Selasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, secara keseluruhan 66 premis dimohon untuk dipotong bekalan elektrik selepas dikesan terlibat kegiatan itu namun hanya 56 premis diluluskan untuk pemotongan.

Menurutnya, empat premis akan dibatalkan lesen oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana terlibat aktiviti tersebut.

"Sementara 13 premis lagi dalam permohonan untuk pembatalan lesen daripada PBT. Menerusi Op Dadu Khas ini, 652 premis telah diserbu dan diperiksa pihak berkuasa.

"Seramai 718 orang telah ditangkap terdiri daripada 660 penjaga premis perjudian manakala 58 lagi adalah pemain. Semuanya berusia dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kamarul Zaman berkata, menerusi operasi itu pihaknya merampas 777 unit telefon bimbit pelbagai jenama; 10 unit tablet; 44 mesin PHK dan wang tunai berjumlah RM140,996.

Jelasnya, bagi tangkapan mereka yang terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian akan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!