Melaka sapu lima emas wusyu
KONTINJEN Melaka mendominasi hari pertama gelanggang wusyu Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 apabila menyapu lima daripada tujuh emas yang ditawarkan hari ini manakala baki dua menjadi milik Johor.
Kilauan emas pertama Melaka di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hadir menerusi Bryan Ti Kai Jie dalam acara nanquan lelaki dengan mengumpul 9.5900 mata mengatasi Chan Shi Weng (9.5700) dari Johor dan rakan senegeri Foo Mun Fei (9.5500).
Bercakap kepada pemberita, Bryan, 18, yang mengutip gangsa pada edisi lepas berkata, beliau tidak menjangkakan kemenangan itu kerana dicabar oleh lawan lebih hebat dan berpengamalan luas.
"Saya berharap kemenangan ini dapat membantu saya mendapat panggilan ke skuad kebangsaan untuk beraksi di Sukan SEA Kemboja pada Mei tahun depan,” katanya kepada pemberita.
Koleksi emas Melaka kemudian ditambah oleh pemenang pingat gangsa Sukan SEA Vietnam, Sydney Chin Sy Xuan menerusi acara taijijian wanita dengan 9.6430 mata manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Mandy Cebelle Chen (9.6200) dari Selangor dan Yong Arifah Khairul Kok (9.5830) dari Sarawak.
Melaka turut menguasai acara nanquan wanita menerusi Tan Pei Ler dengan 9.5100 mata manakala wakil Johor Lee Huan (9.5060) dan Lydia Lau Pei Yi (9.4600) dari Wilayah Persekutuan melengkapkan podium.
Tammy Tan Hui Ling (9.6330) pula menghadiahkan emas acara jianshu wanita dengan mengatasi Stephanie Ngu Chai Ern (9.6060) dari Sarawak dan Pang Pui Yee (9.5430) dari Negeri Sembilan.
Emas acara jianshu lelaki menjadi milik Ang Qi Yue (9.6500), manakala Hew Wei Peng (9.6300) dan Lim Jue Xin (9.6200) dari Pulau Pinang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Johor pula menguasai emas kedua-dua acara daoshu lelaki dan wanita, apabila Tan Zhen Jie (9.6500) dan Lee Jia Rong (9.5730) masing-masing muncul juara.
Tan Cheong Wan (9.6460) dari Melaka dan Edwin Wong Sing Yew (9.6060) masing-masing meraih perak dan gangsa kategori lelaki, manakala seorang lagi wakil Melaka Wong Kai Xin (9.5330) dan Chang Jen Wei (9.4660) dari Negeri Sembilan melengkapkan podium wanita. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!