Terengganu garang di laman sendiri
TERENGGANUFC (TFC) memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila menundukkan Penang FC 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.
Lebih manis lagi kemenangan itu menyaksikan skuad penyu berjaya membalas dendam kekalahan lalu apabila skuad kendalian Nafuzi Zain tewas 1-2 kepada skuad Harimau Kumbang itu di Stadium Bandaraya Jun lalu.
Pada aksi tersebut, TFC membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi pemain sayapnya, Mohd Faisal Halim yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti selepas mendapat umpanan Petrus Shitembi untuk pasukannya mendahului 1-0.
Kapten TFC, Kipre Tchetche kemudiannya menggandakan kedudukan apabila berjaya menanduk masuk hantaran silang Shitembi pada masa kecederaan babak pertama, untuk memastikan pasukannya mendahului 2-0.
Ketika perlawanan seolah dilihat bakal berkesudahan dengan skor 2-0, Kipre sekali lagi menjadi duri dalam daging buat skuad harimau kumbang apabila menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan.
Dengan kemenangan itu, skuad TFC mengumpul 32 mata hasil 18, namun masih kekal di tangga keempat liga, manakala Penang FC kekal menghuni tangga tercorot liga dengan mengutip tujuh mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!