Budaya kroni bantut potensi anak muda
SHAH ALAM - Peluang anak muda yang berbakat akan terbantut jika budaya kabel dan kroni terus wujud dalam pengambilan sesuatu pekerjaan atau pemberian projek.
Aktivis anak muda, Siraj Jalil berkata, amalan seperti itu akan menyebabkan anak muda berhijrah ke tempat lain seterusnya tidak dapat memberi sumbangan terhadap negara sendiri.
"Amalan kroni dan kabel masih wujud, memang kena terima hakikat itu. Jadi anak muda yang mempunyai bakat dan ada kemahiran yang cuba tonjolkan idea akhirnya berputus asa disebabkan hal tersebut (kroni).
"Apabila sudah putus asa akhirnya mereka berusaha di tempat lain dan berhijrah ke tempat lain dan banyak tenaga pakar di negara ini akhirnya pergi ke negara luar dan tidak mahu tinggal di sini," katanya ketika menjadi panel program Kompas Rasuah Busters yang bertajuk 'Budaya Jijik Kabel dan Kroni' yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panelis, pendakwah, Kepten Maritim Nik Kamaruddin Yunoh manakala Anim Ezati Rizki selaku moderator.
Mengulas lanjut, Siraj berkata, potensi kemajuan seseorang individu juga akan terbantut jika mereka menyertai sesuatu organisasi sekadar untuk mengejar projek.
"Ia membantutkan kreativiti pemikiran seseorang yang mahu menyumbang idea. Ramai orang di negara ini yang mungkin tak duduk dalam zon mencari tender kerajaan.
"Mereka berusaha untuk dapatkan sesuatu dengan tidak duduk dalam zon kroni sekali gus melatih kreativiti dia sebagai contoh terdapat syarikat besar milik anak tempatan yang berjaya bertapak di luar negara seperti Singapura disebabkan di negara sendiri mungkin idea mereka tidak diraikan dan tidak dihargai," katanya.
Jelasnya lagi, apa yang paling membimbangkan adalah generasi muda yang berdaya saing akan berubah menjadi 'pak turut' semata-mata untuk dinaikkan pangkat dan mendapat manfaat lain.
"Kesan pada kronisme ini beri pilihan pada masyarakat..apabila masyarakat membuat pilihan lain mereka tidak lagi berasa kebergantungan pada sesuatu pihak seperti kerajaan.
"Apabila tiada kebergantungan pada kerajaan maka sedikit demi sedikit kerajaan dan agensi akan hilang kuasa dan tidak akan lagi dihormati.
"Dengan adanya isu-isu berkaitan rasuah dan sebagainya seperti dijatuhkan hukuman menambahkan lagi elemen tidak percaya pada institusi tersebut," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!