[VIDEO] Sumber gaji jadi haram jika aniaya hak orang lain
SHAH ALAM - Sumber pendapatan hasil daripada sesuatu pekerjaan yang diperolehi dengan jalan yang salah adalah haram, kata pendakwah Kepten Maritim Nik Kamaruddin Yunoh.
Nik Kamaruddin berkata, perbuatan itu telah menganiaya orang lain yang lebih berhak untuk mendapatkan sesuatu peluang pekerjaan atau mana-mana peluang lain.
"Satu pekerjaan kita dapat kalau jalan yang salah, jalan itu yang menganiaya orang lain maka sumber pendapatan itu sudah pasti jadi haram.
"Apabila pendapatan itu haram, jadi dengan beri makan pada anak-anak, isteri dan siapa jua kita berikan bermakna sumber yang dapat itu adalah sumber yang haram.
"Sebab apa sebab dia ambil hak orang lain,"katanya ketika menjadi panelis pada program Kompas Rasuah Busters yang bertajuk 'Budaya Jijik Kabel dan Kroni' yang disiarkan secara langsung di platform Sinar Harian pada Rabu.
Turut menjadi panelis, aktivis anak muda, Siraj Jalil manakala Anim Ezati Rizki selaku moderator.
Pada masa sama, Nik Kamaruddin menjelaskan, amalan menggunakan kabel untuk mendapat pekerjaan mempunyai dua aspek iaitu yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.
"Sebagai contoh seseorang itu mempunyai kelayakan dan merit yang sama dengan orang lain namun ketika itu individu tersebut 'direcommend' tanpa sebarang sogokan selain mengenali majikan itu, jadi perkara itu tidak menjadikan ia haram.
"Namun kalau individu tersebut tidak mempunyai keputusan cemerlang dan tidak layak tetapi diambil disebabkan atas dasar kenal atau guna 'kabel' sehingga ia mengatasi hak orang lain yang berhak maka benda itu menjadi haram,"katanya.
Tambah beliau, sesuatu perkara menjadi haram apabila memberi sesuatu untuk mendapatkan sesuatu tanpa jalan yang betul dan mengatasi hak orang lain.
"Perkara seperti itu kita tidak mahu tetapi apabila seseorang itu cukup syarat, berkelayakan, mempunyai merit yang tinggi sama seperti lain cuma majikan itu kenal keluarga individu terbabit.
"Majikan kenal dia dari keluarga susah dan individu tersebut seorang yang baik. Atas dasar itu dibenarkan dalam syarak dan ia tidak menjadi benda yang haram," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!