Bajet 2023: Sektor pendidikan perlu peruntukan besar
KUALA SELANGOR - Kerajaan diharap dapat menyalurkan peruntukan lebih besar terhadap sektor pendidikan dalam pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober depan.
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, agenda pendidikan perlu diperkasa dan diberi tumpuan khusus bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.
Malah, katanya, beliau sendiri diberi tugasan Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melihat sendiri peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negara dalam memberi tumpuan terhadap sektor pendidikan.
"Baginda (Al-Sultan Abdullah) bertanya perkara ini (peratusan GDP sektor pendidikan) semasa Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94 baru-baru ini.
"Sebenarnya peratusan pendidikan tidak tinggi iaitu hanya empat peratus daripada GDP, malah di peringkat institusi pengajian tinggi hanya 0.9 peratus sahaja dan ia sangat rendah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup dan Makan Malam Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan di Dewan Serbaguna UiTM Puncak Alam di sini pada malam Rabu.
Roziah berkata, negara perlu melihat beberapa negara maju lain seperti Korea Selatan dan Singapura yang memberi tumpuan bukan sahaja dalam konteks kajian penyelidikan di peringkat universiti malah meningkatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ujar beliau, keupayaan belia dalam bidang TVET amat penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Sebagai contoh kita boleh melihat negara seperti Jerman dan Finland mereka berbelanja lebih dari segi membeli peralatan dan perkakasan untuk peningkatan dalam bidang TVET," jelasnya.
Beliau memberitahu, pembentukan sesebuah negara maju memerlukan perbelanjaan tinggi selain tumpuan berterusan diberikan dalam sektor pendidikan negara.
"Jika kita hendak bentuk negara 30 tahun akan datang, kita kena berbelanja daripada sekarang, kalau kita tidak melabur dalam bidang pendidikan, pastinya kita berdepan cabaran sukar pada waktu itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!