JKNP bongkar khidmat doktor gigi palsu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) membongkar kegiatan doktor gigi palsu yang menjalankan amalan pergigian secara haram hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Kempadang di sini pada Rabu.

Kegiatan wanita berusia 20-an itu dikesan hasil aduan awam berkait pengamal pergigian haram atau doktor gigi palsu yang menjalankan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi di sekitar daerah ini.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, wanita terbabit dipercayai mempromosikan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi itu melalui aplikasi Whatsapp sejak tahun 2020 dan menjalankan operasi tersebut di rumahnya.

"Berdasarkan maklumat, harga bagi khidmat pemasangan pendakap gigi yang ditawarkan antara RM100 hingga RM200.

"Selain pemasangan pendakap gigi, wanita itu juga didapati turut mempromosikan rawatan pemutihan gigi melalui Instagram," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Nor Azimi berkata, susulan maklumat itu, serbuan telah dilakukan pegawai dari Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dan Unit Penguatkuasaan Pergigian JKNP kira-kira jam 9 malam dan mendapati wanita terbabit sedang menjalankan amalan pergigian ke atas seorang pelanggan.

"Pasukan serbuan turut menemui dan merampas peralatan pergigian yang disyaki digunakan dalam menjalankan rawatan pergigian secara haram," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) atas kesalahan menyediakan klinik pergigian tidak berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 (Akta 804).

Artikel Berkaitan:

"Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Dr Nor Azimi menasihatkan orang ramai mendapatkan rawatan pergigian atau perubatan di klinik berdaftar sama ada kerajaan atau swasta.

"Kesahihan pengamal pergigian berdaftar boleh disemak melalui laman sesawang www.dpims.moh.gov.my dan semakan untuk klinik pergigian atau klinik perubatan yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) http://www.dpims.moh.gov.my boleh dibuat di laman sesawang www.medicalprac.moh.gov.my," ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama orang ramai dalam memboikot kegiatan amalan pergigian haram itu dapat membantu KKM membanteras kegiatan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!