Asia Art Show 2022 pamer 100 karya pelukis tempatan, antarabangsa
KUALA LUMPUR - Seramai 100 pelukis termasuk pelukis dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) mempamerkan karya masing-masing bersempena dengan Asia Art Show 2022.
Menurut Pengasas Asia Art Show 2022, Hazrita Mohd Hatta, pameran ini dianjur untuk meningkatkan keupayaan membeli seni catan dan karya kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jelas beliau, Asia Art Show 2022 adalah penambahbaikan dari program terdahulu iaitu Art Market Malaysia.
"Penambahbaikan itu merangkumi dari segi strategi jualan dan konsep di mana Asia Art Show 2022 dapat membuka peluang pada semua artis dan jenis atau kategori seni catan, karya kreatif dan seni tampak dipasarkan tidak sahaja untuk pasaran tempatan malah pasaran antarabangsa.
"Minat atau potensi membeli seni catan dan karya kreatif dalam kalangan rakyat tempatan masih rendah begitu juga sokongan dari sektor korporat. Ini boleh dilihat daripada sudut kurangnya penajaan untuk program seni catan-karya kreatif berbanding program hiburan lain dan elemen seni yang lain,” jelas Hazrita.
“Penganjuran Asia Art Show 2022 ini adalah pelantar terbaik bagi para pelukis generasi baharu untuk mereka berkongsi karya masing-masing bagi menjengah potensi dalam pelbagai aspek khususnya mengadakan pameran dan menjual karya mereka di luar negara.
"Saya ingin melihat mereka pergi lebih jauh dan dapat memasuki pasaran Eropah yang lebih terbuka serta menghargai karya seni catan atau karya kreatif khususnya daripada negara Asia seperti Malaysia,” tegas Hazrita lagi.
Selain pelukis-artis tempatan, pelukis dari Indonesia, India, Pakistan, Iran dan Filipina turut menyertai pameran tersebut.
Bagi pameran julung kali ini, Tokoh Pelukis Negara, Ismail Embong turut mempamerkan karya agungnya dari koleksi “Busana” dan beberapa koleksi dari anaknya, seorang artis terkenal tanah air iaitu Emma Maembong.
Majlis Perasmian dan Makan Malam Amal Asia Art Show 2022 telah berlangsung pada 26 Ogos 2022 di Park Royal Collection Kuala Lumpur. Asia Art Show Asia 2022 menawarkan pelbagai aktiviti seperti program SENI yang boleh disertai oleh para pengunjung seperti cabutan bertuah, kuiz seni dan demo lukisan dari adik-adik OKU.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Asia Art Show 2022 boleh layari Facebook dan Instagram, Asia Art Show 2022 untuk keterangan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!