Warga emas dapat tunggakan elaun bilal arwah suami RM64,175
KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas terharu selepas menerima bayaran balik elaun arwah suaminya sebanyak RM64,175 yang tertunggak sepanjang 13 tahun berkhidmat sebagai bilal di Masjid Kampung Kolam, Kuala Ibai, di sini.
Ngah Osman, 74, berkata, dia bersyukur kerana wang yang diterimanya itu merupakan rezeki tidak disangka dan akan memanfaatkannya sebaik mungkin.
"Wang yang saya terima ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan kami sekeluarga berhasrat tunaikan umrah, " katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan elaun tunggakan imam dan bilal masjid di Wisma Darul iman, pada Rabu.
Ngah yang ditemani anaknya, Rosnidawati Ismail, 48, berkata, suaminya Ismail Abas, 74, meninggal dunia akibat komplikasi penyakit.
Kata ibu tunggal itu, Allahyarham berkhidmat di Masjid Kampung Kolam sejak berusia 40 tahun, namun bayaran elaun itu hanya dibayar ketika mula bertugas.
"Seingat saya lama juga arwah tidak terima bayaran elaun. Mujurlah ketika itu dia masih ada pendapatan lain.
"Kerja sebagai bilal masjid ini dilakukan secara sampingan kerana arwah suami saya turut melakukan pekerjaan sebagai nelayan," katanya.
Ibu kepada empat anak itu antara 12 individu yang menerima bayaran tunggakan melibatkan peruntukan sebanyak RM242,925 disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kerajaan negeri telah melunaskan bayaran elaun 54 imam dan bilal yang tertunggak bermula dari 2005 hingga 2018 dengan jumlah lebih RM3 juta.
Selain itu, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan kewangan kepada 509 buah masjid di Terengganu untuk melantik beberapa imam dan bilal di setiap masjid bagi memastikan urusan berjalan lancar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!