Biar MKT UMNO putuskan mahu berunding atau tidak dengan Pas

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keputusan sama ada pintu rundingan antara UMNO dan Pas ditutup atau tidak, hanya boleh ditetapkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, perkara itu mungkin akan dibawa ke mesyuarat MKT yang akan datang.

"Kita serah kepada MKT, kita dengar pandangan daripada semua pihak, UMNO ini memang macam itu, kita terbuka...sesiapa sahaja boleh beri pandangan, akhirnya dari segi keputusan parti, ia akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi.

"Jadi kita tangguh mesyuarat hari Sabtu, malam minggu ini dan akan ditangguhkan kepada tarikh yang akan diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan).

"Jadi mungkin perkara itu boleh dibawa di dalam mesyuarat MKT yang akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Kemuncak Semarak Patriotik Institusi Pengajian Tinggi 2022 di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berkenaan MKT UMNO disaran menutup pintu rundingan dengan Pas berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malam tadi, Ismail Sabri berkata, perjumpaan lima pemimpin tertinggi UMNO bagi membincangkan berkenaan PRU15 yang dijadual Sabtu ini ditangguh ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Menurutnya ia susulan pemakluman daripada Setiausaha Agung UMNO bahawa Mesyuarat MKT Khas yang dijadual pada hari sama ditangguh. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!