PH lemah tangani rasuah kerana sikap pragmatik, sekular: Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melihat pendekatan Pakatan Harapan (PH) yang pragmatik dan sekular semasa mentadbir menyebabkan gabungan itu lemah dalam menangani isu rasuah dan salah laku meskipun lantang menentang isu tersebut.

Menurutnya, keadaan itu juga menyebabkan kepimpinan PH bercelaru apatah lagi dalam isu membabitkan perebutan jawatan Perdana Menteri.

“Bahkan, mereka mengambil tindakan secara terpilih, sehingga ada dalam kalangan mereka yang ditamatkan proses mahkamah di pertengahan jalan.

“Malah, ada juga tidak meneruskan pendakwaan yang sangat meragukan, begitu juga ada yang dipilih untuk diteruskan sehingga memakan masa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menerima bebanan selepasnya.

"Ada pula seolah-olah media juga menjadi hakim dan seterusnya,” katanya dalam satu tulisan di Facebook yang menjelaskan sebab parti itu menolak kerjasama politik dengan PH.

Abdul Hadi berkata, Pas juga tidak bersedia menyertai khemah besar PH kerana tidak yakin gabungan itu mampu mengubati penyakit salah laku dan rasuah yang membarah dalam BN.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan Pas tidak bekerjasama dengan PH disebabkan gabungan itu dilihat bakal membawa mudarat politik lebih besar yang boleh menjejaskan asas penting negara.

Katanya, PH dilihat memberikan kesan lebih buruk berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini antaranya membabitkan kerapuhan hubungan masyarakat majmuk dan perkara negatif berkatian dasar dan konsep negara.

“Keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang kerajaan pusat, walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN yang paling lama dan panjang masanya memegang kerajaan pusat sejak merdeka sehingga ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana salah laku dan rasuah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pengalaman Pas bekerjasama dengan beberapa parti komponen dalam PH memberikan suatu pengalaman yang cukup matang kepada parti itu untuk mengenalinya secara lebih dekat dan terang lagi bersuluh.

Artikel Berkaitan:

Tidak cukup sekadar itu, beliau berkata, Pas juga mempunyai pengalaman bekerjasama dengan parti lain bermula sebelum sehingga sejak selepas merdeka sama ada pihak berhaluan kanan mahupun kiri.

“Pas tidak pernah sekali-kali melanggar perjanjian yang dimeteraikan dan tidak boleh diheret keluar daripada landasannya, namun Pas tetap utuh melangsungkan bahtera perjuangannya dan beberapa parti yang menjadi parti serpihannya hilang dalam lipatan sejarah.

"Pas tidak pernah rugi dari sudut ahli, pengikut dan pemimpinnya, walaupun beberapa kali kehilangan kerusi dan negeri yang pernah dimenangi,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Hadi berkata, Pas berpegang kepada Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) tanpa dendam meskipun ramai pemimpin dan ahlinya menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak zaman penjajah sehingga merdeka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!