Sesi 'retreat' PH fokus strategi hadapi PRU15: Rafizi
SEREMBAN - Sesi pemukiman atau`retreat’ kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di sebuah hotel di sini pada Khamis memberi fokus kepada strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, pada sesi tersebut, seramai 120 orang kepimpinan empat parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah hadir.
"Hari ini seramai 30 kepimpinan tertinggi dari empat parti akan membincangkan fokus mengenai strategi menghadapi PRU15. Perbincangan hari ini lebih tinggi berbanding soal kerusi dan calon.
"Setiap parti akan membentangkan strategi masing-masing macam mana nak menang, apa perlu diberi tumpuan, bagaimana cara menilai kelemahan, melihat keadaan musuh dan memahami pengundi," katanya kepada media ketika sesi pemukiman atau 'retreat' kepimpinan PH di sebuah hotel di sini, pada Khamis.
Menurutnya, tiada soal kerusi atau calon yang dibincangkan kerana proses rundingan berkenaan perkara itu sememangnya berlangsung setiap minggu.
Katanya, isu penyertaan parti Muda juga tiada dibincangkan dalam agenda sesi pemukiman itu dan ia dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH nanti.
"Tiada dalam agenda, sebab 'retreat' ini dirancang sebelum saya kembali dalam politik. Ia sudah dirancang sebelum isu permohonan Muda.
“Saya ingat soal Muda itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden yang akan diadakan nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!