[VIDEO] Banjir: JKM sudah bersedia pada tahap 90 peratus

Siti Zailah (kanan) bertanya khabar Sahrudin (kiri) yang merupakan mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Sri Gading Batu Pahat, pada Khamis.
Siti Zailah (kanan) bertanya khabar Sahrudin (kiri) yang merupakan mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) SMK Sri Gading Batu Pahat, pada Khamis.
A
A
A

BATU PAHAT- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah siap siaga pada tahap 90 peratus bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka November depan.

Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, persediaan tersebut termasuk bekalan barangan bantuan kepada mangsa banjir.

"Depoh-depoh yang ada sudah mula dipenuhkan dengan barangan keperluan. Persiapan pusat pemindahan sementara (PPS) turut ditambah.

"Sebelum ini jumlah PPS yang ada kira-kira 5,000 tetapi terkini lebih 6,000 PPS diwujudkan bagi menghadapi bencana banjir," katanya selepas melawat mangsa banjir kilat di PPS SMK Sri Gading, pada Khamis.

Menurut beliau, seramai 5,067 pegawai dari JKM dan 195 orang pegawai psikologi dan kaunselor sedia membantu melaksanakan intervensi krisis dan psikologi kepada mangsa dan petugas bencana.

"Selain itu, JKM juga dibantu oleh 1,075 orang pasukan sokongan psikologi yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara.

"Pasukan berkenaan terdiri daripada sukarelawan yang mempunyai kelayakan dan kemahiran dalam bidang psikologi," katanya.

Tambah beliau, seramai 7,260 orang sukarelawan berdaftar dengan JKM di seluruh negara turut digerakkan untuk membantu di PPS yang diaktifkan selain membantu ketika pasca bencana.

Artikel Berkaitan:

"KPWKM mempunyai Skuad WAJA seramai 326,500 orang melibatkan penyertaan 252,139 golongan wanita dan 74,361 lelaki yang bersedia untuk membantu mangsa banjir," katanya.

Sementara itu mangsa banjir yang ditemui, Sahrudin Abu Bakar, 49 berkata, banjir yang melanda menyebabkan rumahnya di Kampung Sri Gading dinaiki air pada awal pagi Selasa.

"Saya bersama isteri dan tujuh orang anak berusia tiga hingga 21 tahun diarah berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsan (SK) Sri Gading pada jam 7 pagi. Namun sekolah tersebut turut dinaiki air dan kami berpindah ke PPS baru di SMK Sri Gading.

"Saya cukup risau dengan keadaan rumah terutama pakaian dan buku sekolah anak. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana ramai pihak datang membantu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!