Gol sulung Cools di Republik Czech
AKSI cemerlang pemain pertahanan negara, Dion Cools dalam saingan liga di Republik Czech bersama kelab
baharunya, FK Jablonec melegakan skuad Harimau Malaya.
Ia dibuktikan selepas pemain berusia 26 tahun itu menyumbat satu gol ketika penampilan pertama bersama kelab tersebut dalam aksi pusingan kedua Piala Czech, pada Rabu.
Cools membuka tirai jaringan pada minit ke-17 dan membantu Jablonec meraih kemenangan 4-0 ke atas Motorlet di
Stadium SK Motorlet.
Persembahan padu bekas FC Midtjylland yang disenaraikan dalam kesebelasan utama turut mendapat pujian daripada
ketua jurulatih Jablonec, David Horejs.
Pengendali berusia 45 tahun itu percaya Cools mempunyai kualiti yang baik apabila berjaya menyesuaikan diri
dengan pasukan baharu dalam tempoh singkat.
“Dia seorang pemain yang akan membawa kualiti kepada pasukan. Dia bersama kami dalam satu sesi latihan setakat
ini dan berjaya membuktikan bahawa dia mempunyai kualiti.
“Saya percaya semakin lama dia bersama kami, dia akan lebih membiasakan diri dan membantu kami,” katanya di
laman web rasmi kelab.
Cools sebelum ini dilapor berpisah dengan Midtjylland dan dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan
gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT).
Jablonec bakal bertemu Slovacko di tempat lawan untuk perlawanan minggu kesembilan Liga Czech pada 18
September ini.
Cools dijangka diturunkan untuk aksi pertamanya dalam kancah liga tertinggi Republik Czech.
Penampilan bersama Jablonec memberikan minit permainan yang penting buat Cools selepas dia turut disenaraikan
ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk kejohanan Piala Raja Thai 2022 hujung bulan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!