36 tahun kenangan berbakti kepada negara
Rasa teruja melihat ayahnya memakai uniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan Abdul Wahab Awang, 70, menyertai unit beruniform berkenaan pada tahun 1972.
Anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini bagaimanapun tidak menafi kan banyak cabaran perlu dihadapi sepanjang berkhidmat selama 36 tahun.
Abdul Wahad yang merupakan anak kedua daripada 12 adik-beradik itu memaklumkan, pernah dihantar bertugas di beberapa daerah di Sarawak pada awal perkhidmatannya untuk menyertai sebuah pasukan integrasi di sana.
Menurutnya, pasukan campuran dari Semenanjung tanah air dan Sarawak itu ditugaskan untuk memasuki kawasan hutan bagi mencari komunis yang masih berada di dalam lokasi berkenaan.
“Pada waktu siang, kami masuk ke hutan dan dirikan khemah serta tempat tidur selepas mendapati tempat itu selamat. Tapi kami tidak sangka hujan lebat pada sebelah petang menyebabkan kem kami dinaiki air kerana lokasinya lebih tinggi daripada sungai sekitar.
“Pada jam 2 pagi, kami dengar bunyi bekas makanan dan air berlaga, rupanya tempat penyimpanan itu sudah dipenuhi air.
“Dalam keadaan gelap-gelita itu, kami bergegas mencari tempat yang lebih tinggi dan selamat sekitar sejam,” katanya.
Abdul Wahad ditemui kru Jejak Wira Merdeka yang dibawakan oleh Sinar Harian bersama Pusat Borong GM Klang yang berkunjung ke rumahnya di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, di sini.
Ketika berkhidmat, dia pernah ditugaskan untuk menjaga rumah menempatkan ahli Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP) yang menyerah kalah kepada kerajaan Sarawak pada sekitar tahun 1974 hingga 1975.
Dia juga perlu tinggal dengan mereka selama tujuh hingga lapan bulan bagi melindungi tahanan daripada ancaman luar dan tidak dibenarkan untuk mencederakan mereka jika ada yang ingin lari dari rumah tersebut.
Katanya, selepas 10 tahun bertugas di negeri Bumi Kenyalang itu, Abdul Wahab diarahkan untuk bertugas di Semenanjung tanah air selama kira-kira dua dekad lagi.
Ketika itu, dia ditugaskan untuk menjaga sempadan negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah di pos kawalan yang ditempatkan di setiap satu kilometer.
“Kawasan sempadan itu dijaga daripada anasir luar seperti pelarian, seludup dadah dan sebagainya. “Selepas lebih 21 tahun, saya ditukarkan untuk menjalankan tugas-tugas am di Bukit Aman dan berkhidmat sebagai Penyelia Komunikasi Bukit Aman sebelum bersara pada tahun 2008,” katanya.
Abdul Wahab, seorang bekas polis yang banyak berjasa sepanjang tempoh perkhidmatannya turut menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Antaranya, penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dan Bentara Pasukan Polis yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Walaupun dia kini menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan bengkak kaki, Abdul Wahab masih kuat dan cekal menempuh kehidupan sehariannya selepas bersara.
“Cabaran polis ini banyak, mula-mula kita rasa seronoklah bila memakai uniform. Tapi macam-macam arahan daripada pihak atasan yang perlu kita patuh.
“Kalau kita ikut arahan semasa bertugas, kita akan selamat hingga selesai dan tamat perkhidmatan,” katanya.
Sumbangan GM Klang
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Jenama GM Klang, Norsuhaida Othman memuji inisiatif Sinar Harian yang menggalakkan khususnya generasi muda untuk terus mengenang jasa para perajurit terdahulu yang berbakti kepada negara.
Dalam kunjungan tersebut, pihaknya turut menyumbangkan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada keluarga Abdul Wahab.
“Kebanyakan daripada kita lupa tentang jasa mereka, inilah masanya kita dedahkan kepada orang ramai tentang pentingnya anggota keselamatan berjuang untuk negara sebelum kemerdekaan dicapai.
“Pihak GM Klang merakamkan penghargaan dan berbesar hati sama-sama dapat melawat Abdul Wahab yang banyak menyumbang jasa kepada tanah air.
“Kami harap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk kita lebih menghargai jasa mereka yang memberi sumbangan tidak terhingga kepada negara. Mereka menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak muda untuk mengekalkan keamanan Malaysia,” katanya.
Kunjungan tersebut turut disusuli dengan pemeriksaan kesihatan percuma daripada pihak UiTM Specialist Private Hospital (UPSC).
Menurut Pegawai Perubatan di Bahagian Perubatan Am UPSC, Dr Syakirah Azami, Abdul Wahab merupakan seorang pesakit yang positif dan mempunyai kesedaran tentang penyakit yang dihidapi.
Beliau menasihatkan bekas polis itu menjalani fisioterapi dan pemakaian stoking untuk membantunya menjadi lebih selesa dan aktif terutamanya bagi merawat kakinya yang bengkak.
“Dia perlu menjaga kesihatannya sama seperti sekarang kerana dia seorang yang positif dan mempunyai kesedaran tentang keadaan dirinya.
“Jadi untuk mengatasi masalah kakinya, dia perlu mengangkat kaki lebih kerap bagi hilangkan bengkak untuk dia selesa bergerak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!