Empat bersaudara ditahan bersama dadah bernilai RM90,000
TAWAU - Polis menahan empat bersaudara termasuk tiga adik-beradik dan merampas dadah jenis ganja seberat lebih 27.31 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM90,000 dalam serbuan di sebuah premis di Kilometer 16, Jalan Apas di sini pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tiga beradik iaitu dua wanita dan seorang lelaki serta seorang saudara lelaki mereka itu, yang kesemuanya berusia antara 20 dan 43 tahun ditahan dalam serbuan di premis tersebut pada pukul 5 petang.
Katanya, serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu, adalah hasil maklumat orang awam.
"Ketika serbuan didapati dua lelaki sedang mengangkat tiga kotak dari sebuah kereta ke premis tersebut. Hasil pemeriksaan menemukan 29 bungkusan yang masing-masing berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.
"Dua wanita berada dalam kenderaan itu turut ditahan. Dadah yang dirampas itu disyaki untuk dipasarkan di sekitar Tawau yang mampu dibekalkan kepada 20,000 pembeli," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Jasmin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!