Jom lahirkan pengguna merdeka!

A
A
A

Kemerdekaan bukan hanya berkaitan cara sambutan tetapi kejayaan dalam memerdekakan diri daripada nafsu kehendak dan menjadi warga pengguna yang bijak.
Kemerdekaan bukan hanya berkaitan cara sambutan tetapi kejayaan dalam memerdekakan diri daripada nafsu kehendak dan menjadi warga pengguna yang bijak.

Syok betul dapat ke Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu. Bayangkan sudah dua tahun tak dapat berkumpul, terasa sungguh kemerdekaan! Siapa yang suka dijajah? Jiwa terkongkong, otak terperuk, pergerakan terbatas.

Kita mungkin tidak dijajah seperti zaman tok nenek kita dahulu, tetapi selepas tiga bulan terkurung di rumah sendiri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah cukup mengajar kita erti sebuah kemerdekaan.

‘Merdeka’ untuk bermain, beriadah, berkumpul dan melepak pada bila-bila masa yang kita suka. Lebih rasa merdeka bila melihat aset-aset pertahanan negara dipamerkan di depan mata dengan abang-abang ‘sado’ menayangkan ‘kekuatan’ mereka.

Jadi, janganlah bersikap sambil lewa dengan kemerdekaan. Generasi baharu harus mengisi kemerdekaan dengan meningkatkan jati diri supaya memiliki daya juang yang kental, kreatif, inovatif, berintegriti, tidak rasuah dan tidak bermentaliti subsidi.

Jiwa, minda dan semangat merdeka mestilah sentiasa subur supaya patriotisme sentiasa tinggi dan cinta terhadap negara sentiasa mendalam. Ini yang biasa kita dengar. Datang ke Dataran Merdeka, pasang bendera di rumah, di pejabat, di kenderaan dan di taman perumahan adalah sebahagian manifestasi nikmat kemerdekaan itu.

OGY kali ini membawa pendekatan sedikit berbeza. Kita tidak bercakap berkenaan rakyat biasa tetapi usul untuk negara lahirkan pengguna merdeka. 32 juta rakyat Malaysia adalah pengguna! Malah, masyarakat pengguna di Malaysia sebenarnya lebih daripada itu jika pelancong, pemastautin dan pendatang dihitung sekali.

Artikel Berkaitan:

Jika semua pengguna benar-benar merdeka, impaknya sangat besar kepada negara! Merdeka yang bagaimana?

Merdeka dalam memilih

No Image Caption



Pengguna yang merdeka adalah mereka yang tidak menjadi hamba kepada nafsu dan kehendak tetapi membeli ikut keperluan.

Pengguna merdeka tidak taasub kepada jenama tetapi utamakan kualiti dan keupayaan poketnya. Pengguna Merdeka tidak taasub kepada kedai tertentu. Jika sebuah kedai naikkan harga, beralih sahaja kepada premis lain yang memberikan tawaran lebih menguntungkan dirinya.

Pengguna yang merdeka selalunya mempunyai taktik pembelian dan melalui strategi itu dia dapat tawaran yang terbaik ketika membeli atau mendapat diskaun yang lumayan.

Justeru, salah satu ciri pengguna yang merdeka adalah mereka mempunyai ilmu literasi kewangan yang baik dan sentiasa mengawal pengaliran keluar masuk wang kerana dengan ilmu dia dapat merancang pembelian bagi mendapatkan nilai yang terbaik untuk wang mereka.

Susah? Alah bisa tegal biasa. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa! Itu yang kita pelajari daripada virus Covid-19 yang telah menghantui kita selama dua tahun. Masih ingat? Apa yang penting, pengguna merdeka tidak mungkin terperangkap dalam jurang hutang yang menjahanamkan.

Malah lebih penting lagi, pengguna merdeka kurang terkesan dengan infl asi.

Merdeka dengan lokal

No Image Caption



Pengguna yang merdeka sentiasa melihat negaranya lebih utama berbanding dirinya sendiri, tetapi tidaklah seperti lilin sehingga membakar diri sendiri.

Justeru, membangunkan semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 adalah pencernaan semangat merdeka rakyat Malaysia yang sejati.

Menghidup dan merancakkan semula ekonomi negara akan menyebabkan wang berkitar, bekalan di pasaran akan bertambah, produk baharu akan dilahirkan dan hasilnya, pekerja tidak akan hilang pekerjaan.

Pengguna merdeka akan sentiasa mendukung barangan lokal dan sentiasa memberi keutamaan kepada barangan buatan Malaysia, produk dan jenama Malaysia. Sematkan dijiwa Kempen Beli Barangan Malaysia adalah slogan murni anak Malaysia yang merdeka sepanjang zaman, bukannya bermusim. Kualiti produk Malaysia tidak kurang hebatnya.

No Image Caption

Begitu juga dengan penampilan dan gayanya, malah menepati cita rasa kita sendiri. Kita belum lagi merdeka kalau masih mementingkan jenama asing dan meminggirkan produk tempatan, sedangkan banyak produk kita telah dieksport ke luar negara.

Hanya jiwa yang tidak merdeka sahaja yang merasa inferior dan memperlekehkan produk sendiri. Kita mungkin antara anasir yang menyebabkan produk kita tidak mendapat perhatian dan tidak berkembang untuk bersaing di pasaran dunia.

Merdeka pertahankan hak pengguna

Pengguna yang merdeka adalah mereka yang tahu hak sebagai pengguna dan berani bertindak mempertahankan hak. Berani bertindak dalam erti kata lain, berani membuat aduan jika terdapat anasir yang menipu atau scam.

Melaporkan kepada pihak berwajib jika terdapat peniaga tidak beretika dan memanipulasi pengguna. Pengguna merdeka juga adalah mereka yang tahu dan berani membuat tuntutan tebus rugi dan tidak membiarkan penipu dan scammer bermaharajalela memperdayakan pengguna lain.

No Image Caption

Pengguna merdeka akan sedia berkongsi pengalaman dan maklumat agar lebih ramai pengguna menjadi celik maklumat sama ada terhadap peniaga, produk mahupun platform perniagaan agar wujud ekosistem jual-beli yang kondusif tanpa scam dan pencatutan.

Hanya jiwa dan orang yang benar-benar merdeka akan sentiasa menjaga keharmonian hidup berbilang kaum, agama dan budaya berdasarkan kontrak sosial Perlembagaan Malaysia yang telah disepakati bersama.

Minda yang merdeka tidak hanya mendengar dan mendendangkan lagu Saya Anak Malaysia, Jalur Gemilang, Dirgahayu Malaysia dan lain-lain lagu patriotik.

Terjemahkanlah jiwa merdeka dan suburkan rasa cinta serta kuburkan kebencian agar Malaysia menjadi negara madani dan progresif serta muncul semula menjadi Negara Majmuk Contoh yang dihormati seantero dunia. Amin.

Dirgahayu Malaysia! Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-65 dan Hari Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!