Amaran kepada pengusaha stesen minyak: KPDNHEP
SHAH ALAM - Operator dan pengusaha stesen minyak khususnya di sempadan yang menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing akan dikenakan tindakan tegas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa mengeluarkan arahan berkaitan kepada pengusaha stesen minyak bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON 95.
"Minyak (RON 95) ini untuk rakyat Malaysia, jadi kena kerjasama, jangan nanti apabila kita ambil tindakan kata kita zalim dan itu kita tidak mahu kerana kita pun bukan sangat ambil tindakan ini.
"Kita faham sekarang ini dalam keadaan ekonomi tidak menentu untuk membayar denda itu bukan satu perkara yang begitu mudah dan kita faham itu semua," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia di Lotus's Shah Alam di Seksyen 13 pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai video tular kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dikatakan mengisi petrol menggunakan nozel kuning disyaki RON 95 yang merupakan minyak bersubsidi dekat Gelang Patah, Johor tiga hari lalu.
Dalam pada itu, Rosol berkata, kementerian telah menerima laporan mengenai perkara itu dan pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
"Sebab itu kita harap operator (dan pengusaha stesen minyak) beri kerjasama untuk bersama membantu kementerian dan penguat kuasa supaya tidak ada yang diambil (dikenakan) tindakan," katanya.
Tambahnya, akta itu memperuntuk penalti tidak melebihi RM1 juta atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali terhadap individu manakala perbadanan atau syarikat berdepan denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!