Kejutan emas Farrell kecewakan atlet Sukan SEA

Farrell mengungguli acara lompat tinggi untuk menyumbang emas pertama buat Sabah pada Sukma MSN di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Farrell mengungguli acara lompat tinggi untuk menyumbang emas pertama buat Sabah pada Sukma MSN di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KEJUTAN emas atlet Sabah, Farrell Glenn Felix Jurus dalam acara lompat tinggi Sukan Malaysia (Sukma) MSN di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis apabila menewaskan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Hanoi, Mohamad Eizlan Dahalan.

Eizlan yang merupakan rakan senegerinya terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan pingat perak.

Kejayaan itu juga memadam kekecewaan pada penampilan pertamanya yang ketika itu berusia 16 tahun di Sukma 2018 di Perak apabila dia pulang dengan tangan kosong.

Farrell memastikan kilauan emas menjadi miliknya selepas mencatatkan lompatan 2.15 meter (m) mengatasi Eizlan (2.06m) manakala Kuan Jyh Yunn dari Perak meraih gangsa (2.03m).

Ia juga merupakan emas pertama buat kontinjen Sabah pada temasya kali ini.

"Saya amat berbangga dengan kejayaan ini apatah lagi dapat merekodkan catatan peribadi terbaik di sini. Saya juga gembira dapat menewaskan Eizlan yang lebih berpengalaman.

"Kunci kejayaan saya adalah fokus dalam latihan, jaga makan, tidur awal dan yang paling penting disiplin," katanya yang gagal dalam usaha melakukan lompatan setinggi 2.18m tetapi percaya masa akan tiba untuk dia merekodkan catatan itu.

Farrell yang berasal dari Tenom berkata, fokusnya selepas ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan SEA Kemboja tahun depan.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak pernah beraksi di Sukan SEA dan ia adalah impian saya. Namun, saya sedar perlu bekerja keras dan meningkatkan lagi prestasi bagi melayakkan diri ke temasya itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!