Bekas ejen hartanah didakwa tipu pelaburan babit RM620,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas ejen hartanah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung pelaburan perumahan membabitkan RM620,000, pada 20 tahun lepas.

Soo Seng Chee, 63, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Seng Chee didakwa memperdaya Tan Han Kwan, 51, supaya membuat pelaburan bersamanya dengan membeli dua lot tanah banglo di tapak projek Residence At Mont milik Syarikat Sunrise Sdn Bhd.

Seng Chee dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM620,000 secara berperingkat kepadanya melalui cek dan tunai yakni mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Tertuduh, yang ditangkap 2 September lepas, didakwa melakukan kesalahan itu di Plaza Mont Kiara, Mont Kiara di sini, antara November 2002 hingga Mac 2003, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Saranjeet Kaur Sindhu yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan mempunyai sakit jantung, selain memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 17 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!