Azeem tekad tampil lebih laju

Azeem menempah slot ke peringkat akhir acara 100m Sukma MSN di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Agensi.
Azeem menempah slot ke peringkat akhir acara 100m Sukma MSN di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Agensi.
A
A
A

ATLET pecut kebangsaan,Muhammad Azeem Fahmi melaungkan amaran bahawa dia akan tampil lebih laju selepas layak ke pusingan akhir 100 meter (m) lelaki di temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022.

Pelari berusia 18 tahun itu berkata, dia bagaimanapun tidak mahu memandang rendah dengan lawannya di pusingan akhir sambil menjangkakan aksi sengit bakal diberikan oleh semua atlet yang bertanding.

“Alhamdulillah syukur pada pusingan separuh akhir, saya dapat lakukan larian yang agak baik dan antara yang terpantas dalam hidup saya. Jadi untuk pusingan akhir esok (Jumaat) saya akan cuba melakukan yang lebih baik.

“Kalau ikutkan catatan masa tadi memang dalam jarak yang disasarkan. Asalkan ia bawah 10.3 hingga 10.4 saya sudah berpuas hati.

“Insya-ALLAH kalau ada rezeki (pingat emas).Apa pun saya tidak akan memandang rendah dengan lawan saya.

“Kalau lihat tadi, Haiqal (Hanafi) walaupun dia lari bersahaja dan Arshad, saya yakin mereka akan bagi tentangan sengit esok. Apa pun esok saya akan beri aksi yang terbaik,” jelasnya.

Pada saingan separuh akhir kedua 100 m lelaki, pemegang rekod kebangsaan itu mengesahkan tempat ke peringkat akhir selepas menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan masa 10.33 saat (s) jauh meninggalkan pelumba Pulau Pinang, Muhammad Fakhrul Abdul di tempat kedua.

Selain Azeem dan Fakhrul, turut mengesahkan tempat di pusingan akhir esok ialah pelari Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Thaqif Mohammad Hisham (Selangor), Muhammad Arshad Md Saat (Johor), Muhammad Zulfiqar Ismail (Terengganu) dan Muhammad Idham Rosli (Wilayah Perseketuan).

Artikel Berkaitan:

Dalam acara 100 meter separuh akhir wanita, atlet Pahang, Nor Sarah Adi menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan akhir selepas mengungguli saringan pertama dengan catatan masa 11.94 saat.

Turut mara ke pusingan akhir 100 m wanita, ialah wakil Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal yang mengungguli saringan separuh akhir kedua dengan catatan masa 12:11 saat.

Selain itu, wakil Sabah, Feova Lim Yi Fei, Siti Norzullaika Ramli (Terengganu), Emma Hill (Sarawak), Nur Aishah Rofina Aling (Sabah), Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka (Terengganu) dan Erissca Peter (Sarawak) turut berjaya mara ke pusingan akhir esok.

“Untuk perlumbaan esok saya kena perbaiki larian saya. Sebab tadi ada sedikit gementar kerana berlari dengan pelari-pelari yang hebat.

“Jadi ia pengajaran berguna untuk saya pada perlumbaan esok kerana selain menyasarkan pingat emas, saya juga sasar untuk buat catatan peribadi terbaik. Harap saya boleh memberi aksi yang gerbaik pada final esok,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!