PM beri penghormatan kepada Ratu Elizabeth II, tandatangan buku takziah
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkunjung ke Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di sini dan mengucapkan takziah atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Ismail Sabri turut menandatangani buku takziah sebagai penghormatan kepada Ratu Elizabeth II, 96, yang mangkat pada 8 September lepas.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri pada 3.55 petang ke premis itu disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.
Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British itu.
Ratu Elizabeth II, merupakan raja pemerintah yang paling lama menduduki takhta dalam sejarah British dan kedua paling lama di dunia selepas Raja Louis XIV dari Perancis.
Sementara itu, Hay berkata, beliau tersentuh dengan ucapan takziah daripada Ismail Sabri serta limpahan kasih sayang dan rasa hormat yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.
"Adalah sesuatu yang menggembirakan apabila menerima sokongan sedemikian rupa di Malaysia semasa United Kingdom (UK) meratapi kemangkatan Baginda,” katanya.
Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II kini berada di London dan ditempatkan di Istana Buckingham sehingga istiadat pemakaman negara di Westminster Abbey pada 19 September ini.
Jasad Ratu Elizabeth II akan disemadikan bersebelahan makam suami baginda, mendiang Putera Philip. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!