Penerima darjah kebesaran perlu bersih: PKR

Muhammad Bakhtiar
Muhammad Bakhtiar
A
A
A

GEORGETOWN - PKR menyambut baik keputusan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menarik balik serta memansuhkan keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pemansuhan keahlian darjah kebesaran negeri itu menunjukkan komitmen Yang di-Pertua Negeri dan juga kerajaan negeri dalam memastikan penerima darjah negeri adalah bersih dari sebarang salah laku.

Menurutnya, tindakan itu perlu dijadikan satu amalan dengan memenuhi inspirasi cekap, akauntabiliti dan telus yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan negeri.

"Najib disabitkan kesalahan penyelewengan dan rasuah dana anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International dan dijatuh hukuman penjara 12 tahun serta denda RM 210 juta.

"Kes 1MDB merupakan skandal terbesar di Malaysia yang melibatkan kerugian berbilion ringgit wang negara. Walaupun Najib telah menjalani hukuman penjara tetapi rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang 1MDB yang besar," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis.

Pada Khamis kerajaan Pulau Pinang telah membatalkan keahlian Ahli Parlimen Pekan itu sebagai penyandang D.U.P.N. membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria berkata, pembatalan dan pemansuhan dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak itu berkuat kuasa pada Khamis.

Menurutnya, pembatalan itu dilakukan selepas Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Najib atas beberapa pertuduhan pada 23 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!