Nur Aiman raih emas kedua
PERUBAHAN taktikal ternyata membawa tuah buat pelumba, Muhammad Nur Aiman Rosli apabila mengungguli acara lepas beramai-ramai individu di Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 di Sendayan, Seremban pada Khamis.
Pingat emas tersebut adalah yang kedua buat pelumba dari Johor itu selepas menjuarai acara ujian masa lebuh raya individu pada Rabu.
Pelumba Sapura Cycling itu mengakui percaturan untuk memecut lebih pantas perlu dilakukan kerana dia menjadi sasaran pelumba lain terutama dari Terengganu selepas memenangi acara ujian masa.
"Saya bersyukur dapat memberi saingan kepada pelumba lain. Kemenangan ini sangat bermakna kerana saya tidak pernah menyertai acara ini dalam Sukma,” katanya.
Nur Aiman menamatkan perlumbaan sejauh 160 kilometer (km) itu dengan catatan masa 3 jam 52 minit 04 saat (s), manakala pingat perak menjadi milik pelumba Terengganu, Muhammad Shahmir Aiman Abd Halim dengan catatan masa 3:52.35s.
Seorang lagi pelumba Terengganu, Kee Zhe Yie meraih gangsa apabila mencatat masa 3:53.51s.
"Sebelum perlumbaan, saya sudah tahu cabaran yang akan dihadapi, selain sedar akan menjadi sasaran pelumba lain.
"Sebab itulah, saya menukar taktik dengan melakukan pecahan lebih awal iaitu ketika berada di separuh perlumbaan.
"Taktikal saya itu akhirnya membuahkan hasil dan saya sememangnya amat berpuas hati dapat meraih dua emas pada penampilan keempat di Sukma,” ujar Nur Aiman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!