Monsun Timur Laut: Pastikan bekalan keperluan cukup

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar. Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar. Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
A
A
A


PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diarah bersiap-sedia memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), November ini.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI) kali ke-17 berkata, langkah tersebut perlu diambil terutamanya di negeri-negeri yang dijangka terjejas tanpa memberi kesan ketara terhadap harga barang keperluan.

"Ini termasuklah dari segi peningkatan stok mahupun perancangan logistik pengedaran ke negeri-negeri tersebut seperti trak perkhidmatan minyak bergerak (ROVR) bekalan petrol, diesel dan sebagainya," katanya menerusi sidang akhbar di kementeriannya pada Khamis.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana MTL yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Susulan itu, Perdana Menteri pada Isnin lalu mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi menghadapi MTL.

Musim MTL kebiasaannya mengakibatkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar terutama di negeri Pantai Timur.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022 manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Alexander berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan stok penimbal bagi harga minyak masak mentah (CPO) selepas harga di pasaran dunia stabil.

"Kerajaan akan terus melakukan libat urus dengan pemain industri dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk meninjau kebolehlaksanaan penetapan harga dua peringkat terutama terhadap kegunaan domestik yang merangkumi kurang dari tujuh peratus daripada keseluruhan pengeluaran CPO negara," jelas beliau.

Beliau berkata, aktiviti naziran terhadap pemain industri pembungkusan minyak masak tulen bersubsidi polibeg sedang giat dijalankan bagi memastikan kepatuhan terhadap akta dan peraturan yang telah ditetapkan.

Menurutnya, bagi tempoh antara 1 Julai hingga 11 September lalu, pasukan penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan terhadap 345 syarikat pembungkus, pemborong dan peruncit.

"Hasil daripada pemeriksaan itu, 140 kes direkodkan bagi tempoh antara 1 Julai hingga 30 Ogos dengan 52 kes daripadanya membabitkan ketirisan di peringkat pemborong.

"Siasatan awal terhadap jenis ketirisan yang berlaku menunjukkan wujud elemen menyorok bekalan, tiada rekod dalam buku perolehan dan menjual minyak masak bersubsidi kepada individu premis tidak berlesen," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!