Jurugambar kini mampu 'bernafas' untuk cari rezeki

Muhamad Syazani (kiri), Abdul Mu'izz dan Muhammad Hanis berbincang bersama bagi memastikan kepuasan pelanggan.
Muhamad Syazani (kiri), Abdul Mu'izz dan Muhammad Hanis berbincang bersama bagi memastikan kepuasan pelanggan.
A
A
A

KOTA BHARU - Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada ekonomi masyarakat susulan ramai terjejas pendapatan mereka hingga ada yang terpaksa mengubah haluan pekerjaan termasuk golongan jurugambar.

Umum tahu perkhidmatan bagi seseorang jurugambar kebiasaannya secara bersemuka dan bertemu dengan pelanggan.

Sinar Harian bertemu dengan tiga jurugambar yang telah berkongsi pengalaman perit mereka dalam mengharungi kehidupan akibat penularan Covid-19.

Pemilik studio dan jurugambar, Abdul Mu'izz Che Zahari, 27, berkata, dia menghadapi kesukaran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, selepas setahun membuka studio di Bandar Baru Tunjong, negara 'berperang' dengan Covid-19 mengakibatkan perniagaannya merosot lebih 50 peratus.

Berkongsi kisahnya itu, Abdul Mu'izz berkata, dia terpaksa memikirkan kerja lain bagi mendapatkan wang untuk menyara perbelanjaan isterinya, Nur Syahirah Ab Rahman, 27, dan anak mereka, Abdul Mateen yang ketika itu baru dilahirkan.

"Saya menjual air mangga bagi menampung kehidupan. Alhamdulillah rezeki kami mencukupi," katanya.

Menurut Abdul Mu'izz, sebelum PKP, ramai yang membuat tempahan dengannya untuk khidmat mengambil gambar bagi acara perkahwinan namun terpaksa dibatalkan dan ada pelanggan turut membuat penangguhan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mujur pelanggan begitu memahami situasi dan tidak meminta dia memulangkan deposit dan kemudian meneruskan kerjasama.

Tambahnya, selepas kerajaan melonggarkan PKP, dia mula menerima banyak permintaan termasuk mereka grafik untuk iklan dan promosi produk.

Sementara itu bagi Muhamad Syazani Muhamad Zamri, 25, pula, Covid-19 benar-benar memberi tamparan hebat kepada dirinya yang kebetulan sedang mengumpul wang untuk berkahwin.

Mohamad Syazali memberitahu, sepanjang PKP fasa pertama, dia menjadi penganggur selama empat bulan memandangkan tiada majlis dibenarkan sepanjang tempoh tersebut.

"Ketika itu wang simpanan hampir habis dan saya terpaksa mencari kerja lain supaya dapat menambah simpanan yang ada.

"Saya lebih risau tiada duit daripada takut kepada covid-19," katanya.

Menurut lelaki itu, dia mengambil jalan terakhir iaitu dengan menjadi penghantar barang di sebuah syarikat dengan upah yang kecil selama lima bulan.

Reda dengan situasi itu, Muhamad Syazani akhirnya dapat bekerja kembali selepas kerajaan melonggarkan syarat PKP.

"Saya dah bekerja semula. Alhamdulillah, usaha berbaloi apabila mendapat upah sebanyak RM3,000 sebulan dan dapat melangsungkan perkahwinan pada hari raya keempat tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya, ketika PKP diperketatkan, dia ada menerima tempahan untuk mengambil gambar sepasang pengantin di sebuah masjid.

"Bagaimanapun imam yang bertugas tidak membenarkan saya masuk walaupun ke dalam pagar masjid. Saya bersimpati dengan pengantin itu kerana tiada gambar cantik sebagai kenangan ketika akad nikah mereka," katanya.

Sementara itu, jurugambar sambilan, Muhammad Hanis Mohd Shakri, 25, pula tidak dapat meneruskan minatnya mengambil gambar susulan sepanjang PKP syarat untuk mengadakan sesuatu majlis terlalu ketat.

Muhammad Hanis berkata, sepanjang tempoh PKP, dia yang mempunyai stor gas memasak hanya mendapat surat kebenaran untuk menghantar gas ke premis tertentu.

"Bagaimanapun sekarang kami bersyukur kerana keadaan sedang kembali seperti biasa walaupun dalam tempoh peralihan ke endemik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!