Taliban masih tidak dibenar akses rizab AS$3.5 bilion
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menegaskan pihaknya tidak membenarkan Taliban mengakses rizab Bank Da Afghanistan bernilai AS$3.5 bilion selagi tiada pembaharuan dilaksanakan, walaupun pengeluaran dana untuk mengurangkan tekanan ekonomi dibenarkan, lapor Agensi Anadolu.
Washington mengumumkan pembentukan mekanisme pembiayaan antarabangsa dengan membenarkan Afghanistan membayar beberapa hutangnya menggunakan rizab yang telah dibekukan AS selepas Taliban menguasai negara itu pada Ogos 2021.
Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata, dana itu akan digunakan untuk membayar input kritikal, khususnya pembayaran elektrik dan hutang lain, yang sekiranya tidak dibayar akan menyebabkan Afghanistan terjerumus kepada ketidakstabilan makroekonomi yang lebih teruk.
"Itu tidak akan memberi manfaat kepada rakyat Afghanistan. Kami akan melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat Afghanistan, dan struktur pengauditan untuk memastikan dana digunakan seperti diharapkan," katanya.
AS tidak akan membenarkan Taliban mengakses rizab sehingga pembaharuan yang digariskan pentadbiran Biden sebelum ini, termasuk membuktikan bank pusat bebas daripada kawalan kerajaan Afghanistan, memulakan langkah anti pengubahan wang haram dan berusaha menghalang pembiayaan aktiviti keganasan.
"Langkah-langkah itu belum dilaksana lagi. Kami telah menjelaskan kepada Taliban bahawa itu adalah langkah yang perlu diambil sebelum kami boleh mempertimbangkan untuk memberikan permodalan semula," kata Price. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!