Kayuhan padu skuad berbasikal Terengganu

Skuad berbasikal Terengganu menggondol emas dalam acara lepas beramai-ramai berpasukan di SUKMA MSN di Seremban pada Khamis. Foto FB Teganukita
Skuad berbasikal Terengganu menggondol emas dalam acara lepas beramai-ramai berpasukan di SUKMA MSN di Seremban pada Khamis. Foto FB Teganukita
A
A
A

TERLEPAS pingat emas acara lepas beramai-ramai individu, Terengganu tidak berpatah arang apabila menebus kehampaan itu dengan mengungguli acara lepas beramai-ramai berpasukan di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Seremban pada Khamis.

Pelumba Terengganu, Wan Abdul Rahman Hamdan mengakui mereka sedikit terkilan apabila terpaksa melepaskan emas dalam acara lepas beramai-ramai individu kepada pelumba Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli.

“Dia (Nur Aiman) memang seorang pelumba pilihan, tetapi saya akui kami melakukan kesilapan kerana tidak sedar pelumba Johor itu melakukan pecahan terlebih dahulu.

“Apa pun ini adalah lumrah dalam perlumbaan, apa sahaja boleh berlaku. Kami tetap berpuas hati dengan pencapaian meraih emas dalam acara berpasukan dan dua pelumba kami masing-masing mendapat perak serta gangsa untuk acara individu,” katanya.

Selain Wan Abdul Rahman, Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim dan Kee Zhe Yie, Terengganu yang turut dibarisi Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo, Muhamad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri serta Muhamad Haizam Mohd Shabri mencatat masa terkumpul 11 jam 43 minit 17 saat (s) untuk meraih podium pertama.

Perak menjadi milik pasukan Johor yang mencatat masa terkumpul 11:49.10s manakala Wilayah Persekutuan meraih gangsa dengan catatan keseluruhan 11:53.22s dalam perlumbaan sejauh 160 kilometer (km).

“Perlumbaan hari ini (Khamis) agak sukar dengan cuaca yang tidak menentu. Kalau tidak cukup berlatih, memang akan keletihan.

“Tambahan pula dengan cabaran berbukit, ia semakin menyukarkan kami. Tetapi dengan kerjasama berpasukan, akhirnya kami berjaya memenangi pingat emas,” katanya

Artikel Berkaitan:

Skuad berbasikal Terengganu bagaimanapun tampak cukup berpuas hati kerana ketiga-tiga warna pingat berjaya diraih menerusi dua acara tersebut.

Dalam acara lepas beramai-ramai individu, Nur Aiman merangkul emas dengan catatan masa 3 jam 52 minit 04 saat (s), manakala pingat perak menjadi milik Muhammad Shahmir Aiman dengan catatan masa 3:52.35s dan Zhe Yie pula meraih gangsa apabila mencatat masa 3:53.51s.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!