98,000 rumah PPR disiapkan di seluruh negara
SEREMBAN - Sebanyak 98,000 unit rumah daripada 156 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara telah disiapkan setakat 5 September lepas membabitkan kos berjumlah RM11.6 bilion, sekali gus memenuhi hasrat golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, lebih 10,000 unit rumah membabitkan 26 projek pula masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2025.
"PPR ini lebih kepada untuk golongan yang berada pada tahap paling rendah dalam B40, tanpa ada program yang melibatkan intervensi kerajaan yang begitu mendalam dengan kadar subsidi yang tinggi, mana mungkin mereka ini mampu memiliki rumah.
"Daripada RM11.6 bilion itu sekurang-kurangnya RM8.8 bilion disubsidi kerajaan lebih 20 tahun untuk pastikan rakyat memiliki rumah. Ada dua PPR lagi yang akan kita saksikan pecah tanah dalam masa terdekat iaitu di PPR Bera, Pahang dan Kepala Batas, Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran kepada penghuni PPR di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kementerian juga memperkukuhkan lagi hala tuju PPR ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni termasuk menaik taraf keluasan rumah bersaiz 750 kaki persegi mulai Jun lepas, selain menerapkan elemen keterhubungan dan akses Internet seperti pemasangan gentian ke rumah (fibre to the home) (FTTH).
Menurutnya, kebenaran pembinaan projek PPR Dimiliki dan PPR Disewa di atas tanah milik kerajaan negeri tanpa perlu dipindahkan hak milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan turut diwujudkan semula, selain kenaikan kadar kelayakan maksimum pendapatan isi rumah pemohon dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata di Negeri Sembilan lebih 1,000 unit rumah disiapkan melibatkan lebih 400 kediaman di PPR Ladang Tanah Merah, Port Dickson dan PPR Rembau yang masih dalam pembinaan.
Terdahulu, seramai 90 penerima skim sewa untuk milik (RTO) menerima surat tawaran membabitkan 100 unit rumah di Rantau yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti gelanggang futsal, dewan serba guna dan surau dan dijangka mula diduduki bermula 1 Okt ini.
"Pada masa ini, kadar sewaan bagi PPR Rantau adalah RM237 sebulan untuk tempoh 20 tahun, penerima manfaat di bawah skim ini akan ditawarkan membeli rumah tersebut secara berperingkat dengan tawaran pada tahun kelima, ke-11 dan ke-16 iaitu selepas tempoh sewaan setiap lima tahun berakhir,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!