Geng San Sentosa tumpas
SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan Geng San Sentosa yang aktif melakukan jenayah sekitar Klang dalam beberapa siri tangkapan sejak April lalu di sekitar Selangor.
Kumpulan kongsi gelap ini terlibat dalam aktiviti pemerasan, samun, perlombongan bitcoin haram, curi kenderaan dan pecah rumah.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata,enam individu terdiri daripada ahli dan ketua kumpulan kongsi gelap ditahan dan tangkapan terkini dibuat pada 14 September lalu.
"Dua lelaki warga tempatan ditahan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di Pelabuhan Klang, pemeriksaan dijalankan menemui sepucuk pistol yang disorok di bahagian bawah tempat duduk pemandu.
"Tangkapan ke atas dua suspek berkenaan kemudian membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Taman Mewah Ria, Klang dan sebutir peluru hidup ditemui," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Noorsiah berkata, operasi yang dijalankan sebelum ini melibatkan kawasan di Petaling Jaya, Klang dan Butterworth.
"Dalam serbuan pertama pada 17 April lalu, dua lelaki warga tempatan ditangkap di Petaling Jaya dengan rampasan sepucuk pistol.
"Pada 15 Jun pula, seorang lelaki warga tempatan ditangkap di Taman Sentosa, Klang bersama sepucuk pistol jenis Revolver manakala pada 13 September lalu, seorang lelaki warga tempatan ditangkap di Butterworth, Pulau Pinang bersama sepucuk pistol berserta empat butir peluru hidup," katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!