Bayi terperangkap dalam runtuhan bangunan ditemui selamat
AMMAN - Seorang ibu, Israa Raed pada Khamis berasa gembira selepas pekerja-pekerja bantuan kecemasan menyelamatkan seorang bayi perempuannya, Malak yang berusia empat bulan dari runtuhan sebuah bangunan di Amman.
Bayi itu berjaya diselamatkan pada Rabu lalu selepas sebuah bangunan kediaman empat tingkat runtuh pada Selasa lepas.
“Saya tahu itu (bayi itu anaknya) dengan baju tidurnya berwarna merah jambu,” kata Israa Raed, 26, kepada AFP selepas menunggu lebih 24 jam untuk mendapatkan berita mengenai anak perempuan tunggalnya.
"Kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya saya, saya bersyukur kepada tuhan," ujarnya.
Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam kejadian itu, kata pihak berkuasa.
Rakaman video yang dikongsi oleh perkhidmatan pertahanan awam negara tersebut menunjukkan para pekerja penyelamat mengeluarkan bayi itu pada Rabu lalu dari runtuhan bangunan dan anak kecil tersebut hanya mengalami lebam kecil.
"Doktor berkata adalah satu keajaiban bagi anak perempuan saya selamat dari bawah runtuhan bangunan empat tingkat," kata ibu itu yang berdiri di luar Hospital Luzmila iaitu tempat Malak ditahan di bawah pemerhatian.
Israa yang menjual minyak wangi dan alat solek berkata, dia sebenarnya meninggalkan bayi perempuannya itu dengan seorang rakan yang tinggal di ruang bawah tanah bangunan itu bagi membolehkannya menghantar pesanan.
"Saya tidak tinggal di sana. Kawan saya tinggal di sana dan saya tinggalkan bayi perempuan saya bersamanya. Selepas kira-kira sejam, saya mendapat panggilan telefon memberitahu bahawa anak perempuan saya terjatuh.
"Saya mula berlari seperti orang gila. Saya fikir dia mungkin terjatuh dari katilnya tetapi apabila saya tiba, saya lihat seluruh bangunan runtuh menimpa anak perempuan saya," ujarnya.
Lebih 24 jam kemudian, pekerja penyelamat memberitahunya bahawa mereka mendengar tangisan seorang gadis kecil.
Sehingga kini pihak pendakwa raya mengarahkan lima orang yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan ke atas struktur bangunan tersebut ditahan selepas ia runtuh pada Selasa lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!