Tiada unsur jenayah kes lelaki maut di Teluk Senangin
LUMUT - Kematian seorang lelaki yang didapati terperosok bawah kereta ketika cuba menahan sebuah kenderaan dari masuk ke laut di Teluk Senangin di sini pada malam Khamis, tidak melibatkan sebarang elemen jenayah.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, ketika kejadian, mangsa yang berusia 31 tahun datang ke pantai berkenaan bersama seorang rakannya bagi melakukan aktiviti memancing.
Menurutnya, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Persona bersama rakannya telah meninggalkan kenderaan berkenaan di kawasan berbukit menghala ke pantai tanpa mematikan enjin.
"Mangsa dan rakan keluar dari kereta itu untuk melihat kesesuaian tempat memancing.
"Secara tiba-tiba rakannya terdengar suara mangsa menjerit meminta pertolongan dan melihat kereta itu telah menggelongsor ke kawasan pantai.
"Mangsa dikatakan berada di hadapan kenderaan tersebut bagi menghalang kenderaannya terus bergerak," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Nor Omar berkata, rakan mangsa cuba memberi bantuan, namun lelaki itu telah terjatuh di bahagian bawah kenderaan yang ditenggelami air.
Katanya, hanya sekitar 20 minit kemudian, barulah mangsa berjaya dibawa keluar dengan bantuan orang awam.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Seri Manjung mendapati kematian mangsa akibat lemas," katanya.
Beliau berkata, siasatan polis di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Ujarnya, polis dimaklumkan kenderaan terlibat merupakan kenderaan mangsa dan mangsa memandu sendiri kereta terbabit ke pantai itu.
"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang lelaki maut selepas terperosok bawah kereta ketika cuba menahan kenderaan itu daripada masuk ke laut dalam kejadian di Teluk Senangin pada malam Khamis.
Mangsa dikenali Muhammad Hafiz Ramli, 31, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!