Usaha bentuk bangsa Malaysia moden bukan mudah
SHAH ALAM - Kesatuan hati dan perpaduan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama terbukti menjadi sumber kekuatan terutama ketika berjuang melawan Covid-19.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perpaduan dipupuk sejak sekian lama juga boleh diterjemah dalam pelbagai bidang kehidupan demi mencapai matlamat kemakmuran bersama.
"Kita boleh menarik nafas lega pada hari ini kerana keadaan hampir pulih seperti normal dan usaha untuk memulihkan ekonomi perlu digiatkan dengan lebih rancak," kata Amirudin Shari dalam perutusan Hari Malaysia dikongsi di laman Facebooknya pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha membentuk bangsa Malaysia moden bukan perkara mudah dalam tempoh enam dekad selepas negara mencapai kemerdekaan.
Menurut beliau, terdapat pengorbanan dan keputusan pahit terpaksa dilakukan sesuai dengan zaman demi membentuk pentadbiran demokratik dan berperlembagaan yang baharu.
"Ancaman komunisme dalam iklim perang dingin, ketegangan konfrontasi yang dilancar Sukarno, tuntutan Filipina terhadap Sabah dan juga penolakan dalam negeri sendiri terhadap penubuhan Malaysia," katanya.
Kata beliau lagi, peristiwa 13 Mei turut menjadi parut dalam kehidupan bernegara ini, namun Menteri Besar berkata, banyak yang boleh pelajari daripada peristiwa tersebut dan bagaimana pemimpin terdahulu bertindak menyelamatkan perpaduan rakyat dan juga Persekutuan negara.
"Ikhtiar ke arah cita-cita tersebut masih lagi relevan sehingga ke hari ini.
"Jurang kemiskinan antara yang paling kaya dan yang miskin masih luas dan begitu juga kesenjangan pembangunan di antara bandar dan luar bandar masih wujud dan wajar untuk sungguh-sungguh ditangani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!