Plakad tolak rasuah 'hiasi' depan Stadthuys

Sebahagian NGO di Melaka memegang plakad dan kain rentang jangan menerima dan memberi rasuah di hadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir, pada Jumaat.
Sebahagian NGO di Melaka memegang plakad dan kain rentang jangan menerima dan memberi rasuah di hadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Rasuah Busters (RB) Melaka menyemarakkan semangat antirasuah dengan beberapa individu merakam gambar sambil memegang plakad ' Jangan Terima Rasuah dan 'Jangan Beri Rasuah' di hadapan bangunan bersejarah Stadthuys di sini, pada Jumaat sebagai usaha mengajak orang ramai menolak kedua-dua amalan buruk itu.

Pengerusi Rasuah Busters Melaka, Datuk Isnin Aman berkata, biarpun usaha yang dilakukan pihaknya dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) itu dilihat kecil, namun sekurang-kurangnya dapat menguar-guar kepada ahli keluarga yang hadir serta masyarakat untuk bersama menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Menurutnya, sekali gus mencipta sejarah tersendiri apabila pertubuhan baharu diwujudkan dapat menjayakan program itu yang dirancang dalam tempoh dua minggu sahaja bagi menyemarakkan sambutan Hari Malaysia 2022 di Melaka.

"Alhamdulillah meskipun dalam keadaan santai namun ahli dan NGO pelbagai latar belakang dapat berkumpul bersama dengan satu objektif yang sama-sama menolak rasuah," katanya ketika ditemui di Banda Hilir.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Rasuah Busters Melaka, Ashwad Abd Rahim; Setiausaha Rasuah Busters Melaka, Dr Al Amin Mohamad Sultan dan Penolong Setiausaha Rasuah Busters Melaka, Kamarulzaman Rahman.

Tambah Isnin, dengan bergabung tenaga tanpa mengira peringkat usia termasuk kanak-kanak mereka dapat menterjemahkan tujuan sama iaitu menolak budaya rasuah yang menjadi barah dalam masyarakat.

"Saya yakin jika orang atas dan bawah bergabung kita akan dapat mengurangkan rasuah dan itu sebenar-benarnya kemerdekaan negara," kata Isnin.

Pertemuan ringkas yang disertai seramai 60 individu itu turut diisi dengan ucapan daripada wakil-wakil NGO, persembahan deklamasi sajak oleh Amir Ali dan Puteri Marissa Ali selain memegang kain rentang yang tertera perkataan 'Jangan Terima Rasuah dan 'Jangan Beri Rasuah secara beramai-ramai.

Artikel Berkaitan:

Antara NGO yang hadir termasuk Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Melaka, Kumpulan Cinta Rasul Pokok Mangga, TAMIM, Persatuan Penduduk Balai Panjang Melaka dan Pertubuhan Khairat Kematian Batang Tiga Barat,

Turut serta Sukarelawan Bencana Melaka, Gerakan Belia 4B Tangga Batu, Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia Negeri Melaka dan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!