Emas buat keluarga: Shangyang
ATLET wushu Pulau Pinang, Chuah Shangyang menghadiahkan dua pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 buat keluarga tersayang yang banyak berkorban demi sebuah kejayaan.
Atlet berusia 22 tahun itu juga meluahkan hasrat untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga bagi menebus kembali pengorbanan mereka yang memberi sokongan padu perjalanan kariernya.
Shangyang memenangi pingat emas dalam acara nandao lelaki pada Jumaat selepas cemerlang mengungguli acara nangun pada Khamis.
"Saya tujukan kemenangan ini untuk ahli keluarga. Mereka kadang-kadang perlu menunggu sehingga saya selesai (berlatih), ada sehingga memakan sama tiga atau empat jam.
"Saya di Kuala Lumpur dan mereka di Pulau Pinang. Selepas ini, saya mahu berehat dan luangkan masa dengan keluarga kerana kami tinggal berjauhan," katanya.
Bekas juara dunia wushu bagi acara xingyiquan 2019 itu mengutip 9.643 mata untuk mengatasi atlet Sarawak, Danny Ling Hang Kee (9.616 mata) dan atlet Melaka, Chan Shi Weng (9.593) dalam acara yang berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Mengulas aksi final, Shangyang mengakui tiada tekanan kerana dia hanya meneruskan seperti apa yang dilakukan pada sesi latihan.
"Semua berjalan lancar seperti yang dilakukan pada sesi latihan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!