KPPK kongsi kepakaran dengan negara sedang membangun

Zuraida
Zuraida
A
A
A

JASIN - Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan memperluas pertukaran dan perkongsian teknologi dengan negara-negara sedang membangun dalam usaha memanfaat kepakaran dimiliki negara berkaitan industri kayu-kayan.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, usaha itu, termasuk dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), makmal, pengurusan dan penggunaan sumber hutan secara mampan, selain teknologi meliputi penggunaan peralatan atau mesin terkini.

"Kita mempunyai agensi seperti Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), yang sememangnya mempunyai kepakaran merangkumi pelbagai perkara dalam bidang ini dan mempunyai pengalaman lebih 50 tahun.

"Kita telah pun memulakan langkah ini dengan beberapa negara seperti India, Bangladesh, Pakistan dan India, yang memberikan kerjasama menggalakkan dan ini juga dilihat mampu menjadi unsur kepada pendapatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Penanaman Pokok sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Stesen Penyelidikan FRIM Selandar di sini pada Jumaat.

Pada program itu sebanyak 30 spesies pokok ditanam seperti kenanga, merawan siput jantan, janda merana, kasai, kayu manis, cermai bidara, petai, belimbing buluh, belimbing madu, bakau dan eucalyptus pellita.

Zuraida berkata, industri perkayuan negara terus mencatatkan perkembangan positif, dengan peningkatan permintaan eksport ke luar negara biarpun berdepan pelbagai cabaran seperti rantaian bekalan, kestabilan ekonomi dan sebagainya.

"Pada tahun ini eksport kayu mencapai RM23 bilion dan kita jangka jumlah itu akan terus meningkat dari tahun ke tahun berikutan produk kayu dan perabot kita terus mendapat pemintaan tinggi dari negara luar,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!