PRU15: 70 peratus calon Amanah PRU15 sudah dinilai
SEREMBAN - Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan membuat penilaian terhadap 70 peratus senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menjangkakan soal pemilihan kesemua calon selesai pada pertengahan Oktober.
"Untuk persediaan PRU15, lebih baik kita jangkakan awal November. Jadi, kita tetapkan pertengahan Oktober selesai semuanya.
"Peringkat Amanah sudah buat mesyuarat dan saya rasa hampir 70 peratus calon telah dinilai," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) 2022 di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.
Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Amanah berkata, jika pihaknya menerima aduan atau terdapat isu berbangkit berkenaan calon disenaraikan, ia akan dinilai semula.
"Untuk calon baharu misalnya, kami akan temuduga mereka dan lihat dari pelbagai sudut seperti kelayakan, komitmen dan rekod dalam parti," katanya.
Sementara itu berkenaan soal kerusi pula, beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) telah selesai hampir 70 peratus soal pembahagian 52 kerusi Parti Pribumi Malaysia (Bersatu).
Tambahnya, PH juga bersetuju untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi oleh parti komponen dalam gabungan itu pada PRU14.
"Berkenaan soal kerusi untuk Amanah, seperti mana dalam kenyataan saya minggu lalu, kami sasarkan 40 hingga 45 kerusi.
"Saya rasa itu munasabah, 70 peratus telah dirunding dan ia berjalan dengan baik.
"Wanita tetap akan ada kerusi tapi jumlahnya belum dapat saya sebutkan kerana dalam proses mempersiapkan calon. Begitu juga dengan kerusi untuk Pemuda Amanah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!