Kes culik ejen kosmetik: Polis Thailand serbu rumah suspek
KOTA BHARU - Polis Thailand bertindak menyerbu sebuah rumah di pinggir Sungai Golok di Takbai dalam wilayah Narathiwat dalam usaha mengesan mangsa penculikan di Kampung Semat Jal, Tumpat sejak Selasa lalu.
Sumber berkata, pihak berkuasa itu menerima maklumat berhubung rumah yang dihuni oleh suspek dan menjalankan serbuan.
“Ketika diserbu polis pada Khamis, rumah tersebut bagaimanapun didapati kosong.
“Operasi akan terus dilakukan bagi membantu mengesan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Menurutnya, polis Thailand dan Malaysia di Kelantan bekerjasama berkongsi maklumat berkaitan dalam usaha menjejaki mangsa.
Pada Selasa, mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang juga ejen jualan kosmetik diculik sekumpulan lelaki menaiki kereta jenis Toyota Vios di hadapan rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada jam 5.10 petang.
Kejadian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.
Terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand dan kereta terbabit ditemukan pada jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu.
Pada Khamis, polis Kontinjen Kelantan memaklumkan kes penculikan itu ada kaitan dengan sindiket dadah.
Susulan itu tiga individu berusia 35 hingga 47 tahun termasuk suami mangsa ditahan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!