Semangat anak muda cipta Jalur Gemilang Mega dari cap telapak tangan
ALOR SETAR - Semangat anak muda dari Kelab Putra Alor Setar meraikan detik istimewa negara dapat dilihat susulan mereka berjaya menghasilkan Jalur Gemilang Mega daripada cap telapak tangan sempena sambutan Hari Malaysia, pada Jumaat.
Pengerusi Kelab Putra Alor Setar, Muhammad Syafiq Othman berkata, aktiviti tersebut mendapat sambutan kira-kira 200 anak muda serta pengunjung pusat beli-belah Aman Central, di sini.
Katanya, bendera sepanjang 30 kaki x 15 kaki itu adalah inisiatif kelab mereka untuk menyemarakkan Hari Malaysia setelah dua tahun tidak menyambutnya.
"Sokongan ditunjukkan oleh anak muda dan orang ramai sangat memberangsangkan," katanya ketika ditemui di lokasi program di Menara Alor Setar, pada Jumaat.
Muhammad Syafiq berkata, bendera mega itu akan digantung di pekarangan Menara Alor Setar sebagai pameran kepada orang ramai.
Sementara itu seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Nur Adilla Najwa Wahab 21, berkata, penyertaannya dalam aktiviti berkenaan dapat memupuk rasa cinta kepada negara selain dapat melihat kesungguhan orang ramai untuk mengambil bahagian.
"Hari ini hujan tetapi ada yang sanggup tunggu hujan reda untuk turut serta mengecap telapak tangan.
"Orang lalu lalang yang melihat aktiviti kami ini juga ada ambil bahagian," katanya.
Bagi Nurulain Rusdi, 21, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok merangkap Kelab Putra Alor Setar berkata, sambutan daripada pelbagai kaum untuk turut serta dalam aktiviti itu sangat mengagumkan.
"Tak kira Melayu, Cina atau India semua berebut-rebut untuk mengecap telapak tangan mereka di bendera mega ini," katanya.
Menurut Nurulain, penyertaan golongan muda akan memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk turut serta dalam aktiviti seperti itu.
"Ia akan menambah minat lebih ramai anak muda untuk menyertai aktiviti sempena kemerdekaan dan Hari Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!