'Pagi baiki, petang dah rosak semula'

Rogayah (kanan) menunjukkan lif yang rosak di Kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu. Gambar kecil: Azizi Amin
Rogayah (kanan) menunjukkan lif yang rosak di Kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu. Gambar kecil: Azizi Amin
A
A
A

KOTA BHARU - Hampir 100 penghuni di Kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu di Jalan Long Yunus di sini mengalami kesulitan akibat lif rosak yang didakwa berlaku sejak empat tahun lalu.

Seorang penghuni, Rogayah Hasan, 48, berkata, situasi itu memberi masalah kepadanya yang menghidap penyakit jantung untuk menggunakan tangga memandangkan rumahnya terletak di tingkat dua kuarters yang berusia 27 tahun itu.

Katanya, pernah berlaku penghuni terperangkap di dalam lif termasuk anaknya yang berusia empat tahun dalam kejadian empat tahun lalu.

“Waktu itu, anak masuk terlebih daulu dan tiba-tiba pintu tertutup. Saya sempat sambar tangannya tetapi dia terkepit dan terlepas, namun selepas itu dapat diselamatkan dengan bantuan bomba yang membuka pintu lif tersebut dengan menggunakan peralatan.

“Sejak empat tahun lalu lif ini mengalami kerosakan dan banyak kali dibaiki namun sekejap sahaja pulih. Pagi baiki, petang dah rosak semula,” katanya ketika ditemui di Kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu di sini pada Jumaat.

Seorang lagi penghuni, Hanif Amin, 27, berkata, bangunan tersebut mempunyai dua lif dan kedua-duanya rosak menyebabkan rumah di tingkat lima hingga 10 bangunan blok A serta B itu dikosongkan.

“Sudah ramai yang berpindah ke tempat lain kerana masalah lif rosak. Di tingkat lima hanya ada satu rumah berpenghuni manakala yang lain kosong.

“Penghuni lain hanya tinggal di tingkat satu sehingga empat. Keadaan lif yang berterusan rosak ini menyulitkan terutama kepada wanita mengandung kerana terpaksa naik tangga yang sangat tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hanif (gambar kecil) menggunakan tangga untuk naik dan turun dari rumahnya yang terletak di tingkat tiga kuarters.
Hanif (gambar kecil) menggunakan tangga untuk naik dan turun dari rumahnya yang terletak di tingkat tiga kuarters.

Sementara itu, Azizi Amin, 22, memberitahu perkara itu sudah banyak kali diadukan kepada pihak yang berkenaan namun belum ada penyelesaian.

“Bapa saya sendiri menghidap penyakit gout dan perlu menghadiri janji temu di hospital.

“Setiap kali itulah dia perlu menuruni anak tangga dari tingkat tiga rumah kami dengan kaki yang sakit.

“Jadi, kami harap masalah ini dapat diatasi dengan segera kerana sudah lama kami sengsara menghadapinya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin ketika dihubungi berkata, beliau sedia maklum dengan perkara itu, malah kerja pembaikan sudah dilakukan beberapa kali.

“Bagi kerosakan kali ini, kita sedang berusaha mendapatkan alat ganti yang diperlukan dari luar negara. Kalau hendak bina baharu, kos terlalu tinggi dan tidak bersesuaian dengan usia bangunan.

“Kami jangkakan kerja-kerja pemulihan lif akan dijalankan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi,” katanya.

Lif rosak sejak empat tahun lalu menyulitkan pergerakan penghuni.
Lif rosak sejak empat tahun lalu menyulitkan pergerakan penghuni.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!