Keluarga Malaysia teruja rai Hari Malaysia 2022

Pengunjung mula memenuhi pekarangan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan sempena Sambutan Hari Malaysia 2022 di malam ini. - Foto Bernama
Pengunjung mula memenuhi pekarangan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan sempena Sambutan Hari Malaysia 2022 di malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sekitar Banda Hilir khususnya pekarangan Dataran Pahlawan di sini bagaikan merentas masa kembali kepada suasana hari bersejarah pengisytiharan tarikh kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 20 Februari 1956.

Jika 66 tahun lepas, rakyat berbilang bangsa dan agama berhimpun di sini untuk meraikan Bapa Kemerdekaan bersama Rombongan Merdeka sekembalinya mereka dari London dan mengisytiharkan tarikh kemerdekaan, hari ini Keluarga Malaysia kembali berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Malaysia 2022.

Berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan yang terletak bersebelahan Dataran Pahlawan, lokasi sambutan yang julung kali diadakan di Semenanjung itu dibanjiri pengunjung seawal 4 petang.

Rata-rata pengunjung terdiri daripada penduduk tempatan dan mereka yang datang dari luar Melaka bersama keluarga masing-masing serta sahabat handai kelihatan begitu teruja menantikan pengisian sambutan malam ini.

Ibarat sambil menyelam minum air, pelancong asing yang berkunjung ke lokasi pelancongan utama itu turut tidak melepaskan peluang untuk bersama Keluarga Malaysia menyaksikan sambutan bersejarah gilang-gemilang tersebut.

Selaras dengan keunikan sambutan Hari Malaysia 2022 yang mengetengahkan tema busana pelbagai etnik Malaysia serta era 60-an, terdapat pengunjung berbaju Melayu dan berkebaya Nyonya selain memakai aksesori busana tradisional.

Setakat 6 petang, keadaan di sini baik dan redup malah menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca baik dijangka berterusan hingga ke malam sekali gus melancarkan perjalanan acara itu.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai mula memenuhi tempat duduk penonton yang disediakan seawal jam 6 petang. - Foto Bernama
Orang ramai mula memenuhi tempat duduk penonton yang disediakan seawal jam 6 petang. - Foto Bernama

Terdapat kemudahan tempat duduk bertingkat manakala lebih lima skrin gergasi disediakan berdekatan pentas utama dan sekitar lokasi sambutan untuk kira-kira 20,000 pengunjung yang dijangka hadir malam ini.

Sebanyak 200 unit tikar evamatic diagihkan oleh Perbadanan Melaka Holding Sdn Bhd kepada orang ramai terutama yang datang dengan keluarga untuk mereka menyaksikan program itu secara lebih santai.

Walaupun jalan utama menghala ke Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan mulai sesak petang ini namun keadaan masih terkawal susulan kehadiran anggota keselamatan yang bertugas selain kemudahan khemah perubatan disediakan sekiranya berlaku kecemasan.

Kehadiran pengunjung yang ramai juga ibarat durian runtuh bagi penarik beca dan peniaga kecil sekitar lokasi sambutan itu kerana membantu menjana pendapatan mereka.

Acara malam ini dijadualkan bermula dengan ketibaan tetamu kehormat menaiki beca seterusnya persembahan visual dan gerak mengenai catatan pembentukan Malaysia yang turut menampilkan pelakon veteran Shaharudin Tamby sebagai narator.

Antara pengisian menarik malam ini ialah upacara simbolik menandatangani buku Watikah Pengisytiharan Malaysia, persembahan teatrikal dan muzikal serta nyanyian barisan artis popular seperti Datuk Nash dan Ernie Zakri selain artis kebudayaan manakala kemuncak sambutan Hari Malaysia 2022 akan diserikan dengan pertunjukan bunga api yang berwarna-warni. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!