Wan Mohd Zahid meninggal dunia pada usia 82 tahun

Mohd Zahid - Foto FB Asyraf Wajdi
Mohd Zahid - Foto FB Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin meninggal dunia pada usia 82 tahun pada Jumaat.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Tunku, Petaling Jaya pada jam 10 pagi.

Berita mengenai pemergiannya itu tular di media sosial dan pelbagai pihak turut merakamkan ucapan takziah.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Wan Mohd Zahid dan mengakui sedih apabila mendengar berita tersebut.

“Beliau telah memberikan jasa besar kepada sistem pendidikan negara malah dilantik sebagai pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

“Saya selalu terserempak dengannya di Masjid Kg Tunku, Petaling Jaya untuk solat Subuh.

“Tidak hairanlah, sudah lama saya tidak melihatnya di sana,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut merakamkan ucapan takziah dan merakamkan doa untuk Allahyarham.

Artikel Berkaitan:

“Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Yayasan Sime Darby (YSD) dalam satu kenyataan memaklumkan, komitmen Wan Mohd Zahid terhadap yayasan itu selama ini mengagumkan dan amat dihargai.

“Kami berdukacita menerima berita pemergian Wan Mohd Zahid, bekas Ahli Majlis Tadbir YSD selama lebih 10 tahun.

“Sumbangannya tidak terkira terhadap tunggak pendidikan kami. Ia adalah satu penghormatan dan keistimewaan untuk bekerja bersama beliau,” menurut kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!