Harimau Muda kembali nyalakan peluang

Aliff Izwan melakukan percubaan leret untuk gol pertama Harimau Muda ketika berdepan Sri Lanka di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia pada Jumaat. - Foto FB FAM
Aliff Izwan melakukan percubaan leret untuk gol pertama Harimau Muda ketika berdepan Sri Lanka di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia pada Jumaat. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 19 tahun (B-19) negara, semakin mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-20 di Uzbekistan, apabila menewaskan Sri Lanka, 3-0 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia sebentar tadi (Jumaat).

Kemenangan itu memberikan tiga mata berharga buat skuad negara sekali gus menebus keputusan seri 1-1 ketika berdepan tuan rumah, Mongolia di venue sama, Rabu lalu.

Skuad B-19 negara bermula garang baik sebaik wisel permulaan dengan mengasak hebat ke gawang Sri Lanka dalam usaha membuka jaringan.

Asakan-asakan itu hampir membuahkan hasil pada minit ketujuh apabila penjaga gol Sri Lanka, Shane Banuka, gagal menangkap kemas percubaan jentera serangan skuad negara dari luar kotak penalti.

Namun, peluang berkenaan gagal dimanfaatkan jentera serangan negara apabila Banuka bingkas bangkit bagi mendakap kemas semula bola muntah berkenaan.

Skuad negara berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-31, apabila penyerang, Aliff Izwan Yuslan berjaya melepasi kawalan pertahanan Sri Lanka sebelum merembat leret menewaskan Banuka untuk gol pembukaan perlawanan.

Gol itu menyemarakkan semangat kesebelasan skuad B-19 negara untuk terus menggasak hebat ke gawang Sri Lanka dalam usaha menambah jaringan, namun tiada sebarang tambahan jaringan dilakukan sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua Sri Lanka beraksi dengan 10 pemain apabila pemain perlahannya diperintahkan keluar padang setelah mengutip kad kuning kedua selepas melakukan kekasaran terhadap pemain skuad B-19 negara.

Artikel Berkaitan:

Kesempatan itu kemudiannya dimanfaatkan pemain negara untuk terus menggasak ke gawang Sri Lanka yang akhirnya menjaringkan gol kedua menerusi Adam Farhan Faizal pada minit ke-70.

Gol itu menyemarakkan semangat skuad negara yang mendominasi perlawanan apabila berhasil menambah jaringan menerusi Aliff Izwan pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan 3-0.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara kini berada pada kedudukan kedua di belakang pendahulu kumpulan E, Korea Selatan dengan meraih empat mata hasil satu kemenangan dan seri sekali setakat.

Pada aksi terakhir Ahad ini, skuad negara bakal berdepan, Korea Selatan yang mengumpul enam mata setakat ini hasil dua kemenangan berturut-turut.

Berdasarkan format kelayakan, hanya juara daripada setiap 10 kumpulan akan layak secara automatik, manakala lima lagi slot diberikan kepada lima naib juara terbaik selain Uzbekistan yang layak selaku tuan rumah.

Sri Lanka

Shane Banuka, Jerad Jerom, Mohamed Shakeel, H I Imdadulla, Theshan Thusmika (kapten), Muhammedu Munsif, Mohamed Ihsan, Navod Lakshitha, Firaz Zeer, Mohamed Thilham, Mohamed Shahil

Malaysia

Syahmi Adib, Ubaidullah Shamsul (kapten), Faiz Amer, Alif Farhan, Najmudin Akmal, Haykal Danish, Nazrin Nasir, Aliff Izwan, Ziad El Basheer, Rozaini Bakar, Adam Farham

Pengadil

Adel Ali Alnaqbi (UAE)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!