Sambutan di Melaka kembalikan nostalgia pembentukan Malaysia
MELAKA - Bagaikan kembali ke era awal kemerdekaan negara dan detik pembentukan Malaysia, Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini diwarnai serta dibanjiri tetamu kehormat dan puluhan ribu pengunjung berbusana tahun 50-an dan 60-an bagi sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan malam ini (Jumaat).
Berlatarkan memorial bersejarah di mana Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan tarikh rasmi Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos 1957, lebih 20,000 pengunjung mula membanjiri kawasan itu seawal 4 petang bagi meraikan sambutan yang julung-julung kali diadakan di Semenanjung.
Walaupun sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan buat pertama kalinya diadakan di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak turut menganjurkannya di peringkat negeri masing-masing pada malam ini namun tujuan utama masih sama iaitu bagi memperingati persetujuan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah untuk bersama-sama membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Bahang sambutan mula dirasai pengunjung apabila bunyi ekzos motosikal vespa, jentera dua roda yang cukup sinonim pada era berkenaan menggegarkan Jalan Parameswara sebagai tanda sambutan bermula disusuli perarakan basikal tua dan tetamu kehormat menaiki beca berhias berbusana era 50-an dan 60-an ke khemah utama.
Malah rombongan yang membawa Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa turut diserikan dengan iringan lagu-lagu malar segar era berkenaan serta iringan muzik beg paip kakitangan Sekolah Henry Gurney.
Lantunan suara pelakon veteran Shaharuddin Thamby yang melakonkan watak Datuk Bahaman dalam filem biografi epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, nyata membangkitkan semangat patriotisme hadirin menerusi monolog dalam persembahan Catatan Malaysia, yang bernaratifkan Suruhanjaya Cobbold dan penglibatan tokoh-tokoh pembentukan Malaysia diiringi persembahan gerak dan visual berlatarkan infografik serta pentomin.
Acara diteruskan dengan segmen kenegaraan yang didahului nyanyian lagu Negaraku dan acara menaikkan Jalur Gemilang serta perarakan masuk bendera ciptaan arkitek di Jabatan Kerja Raya Johor, Allahyarham Mohamed Hamzah itu oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia diketuai Bintara Muda TLR, Mohamad Akmal Sarkinin.
Bacaan Rukun Negara, yang digarap bagi mengeratkan hubungan perpaduan antara masyarakat selepas tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, kemudian dilantun oleh Tokoh Budaya Negeri Melaka dan Tokoh Guru Abd Rani Embi diiringi Keluarga Malaysia mewakili kepelbagaian kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Sikh, Chetti, Portugis, Orang Asli serta etnik di Sabah dan Sarawak.
Meneruskan acara ialah tayangan ucapan video oleh Annuar, Sulaiman, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta amanat Perdana Menteri, yang kemudian menyempurnakan acara pelancaran sambutan.
Sambutan diteruskan dengan acara menandatangani Buku Watikah Pengisytiharan Malaysia, dengan kulit buku berkenaan bersalutkan emas menggunakan motif tenunan berdasarkan corak etnik tempatan Sarawak, Sabah dan Semenanjung, disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan dan disimpan oleh Arkib Sabah.
Buku khas seberat 25 kilogram itu, yang dibawa oleh pegawai-pegawai Arkib Sabah, kemudian ditandatangani Jeffrey mewakili Ketua Menteri Sabah, Awang Tengah mewakili Premier Sarawak dan Ismail Sabri.
Tiupan serunai dan gendang silat kembali menggegarkan suasana menerusi persembahan dalam Segmen Pahlawan Bangkit 'Bahang Nasionalisme Tanah Air Kita' menerusi pentomin menggabungkan pasukan seni bela diri seperti silat, wusyu, silambam, Sabah dan Sarawak kemudian melatari puisi Perjuangan yang dibawakan Shaharuddin.
Menghidupkan kembali nostalgia pengisytiharan pertama kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956 di tapak bersejarah itu, diorama perarakan masuk Tunku Abdul Rahman bersama kereta antik dan rombongan ditemani Tun Tan Cheng Lock ke pentas utama disambut barisan kelab basikal tua, kelab vespa dan kumpulan rakyat pelbagai kaum sambil dilatari sedutan ucapan Bapa Kemerdekaan itu di Padang Pahlawan.
Hadirin kemudian dibawa 'menyeberangi' Laut China Selatan ke Borneo dengan persembahan diorama berserta monolog Pahlawan Datu Mat Salleh menunggang kuda memimpin pasukannya menentang penjajah selain visual sejarah pembentukan Malaysia melibatkan tokoh pejuang Sabah lain seperti Antanom, Tun Datu Mustapha Haron dan Tun Fuad Stephens.
Diorama Pahlawan Rentap meneruskan persembahan dengan dialog berlatarbelakangkan visual perjuangan Rentap, Sharif Masahor, Rosli Dhobi, Temenggung Jugah, Kanang Anak Langkau dan pembangunan Bumi Kenyalang sehingga kini.
Penyanyi dan pemain sape, Alena Murang, kemudian mengambil alih pentas dan memukau hadirin apabila menyanyikan lagu etnik Kenyah bertajuk Meno' yang digubah dengan irama kontemporari.
Penyanyi, Datuk Nash pula membawakan lagu Seruan diiringi pentomin memaparkan anggota keselamatan memperjuang kemerdekaan negara seakan menyeru semangat kepahlawanan dalam sanubari hadirin menerusi medley Rakyat Titiwangsa dalam segmen Teguh Banjaran Titiwangsa.
Dalam segmen itu juga, penonton dibawa menelusuri budaya masyarakat Semenanjung yang diterjemah menerusi persembahan lagu Bah Bola oleh Sali Bahbola dan Orang Asli Gombak, Warisan (Kenny Lee dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah), Kurik Kundi (Nadhiya Zaini dan Briged Seni Melaka) dan persembahan dikir rambong oleh Roy Kapilla.
Menutup sambutan, lagu Keluarga Malaysia Teguh Bersama ciptaan Annuar dimainkan diiringi kibaran Jalur Gemilang oleh artis budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta hadirin disusuli pertunjukan bunga api. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!