Pemburuan slot Piala AFC sengit
STATUS pasukan yang akan layak ke saingan Piala AFC musim depan dijangka diketahui selepas perlawanan terakhir Liga Super musim ini.
Pandangan itu disuarakan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berdasarkan kepada jurang mata yang rapat antara lawan.
Meskipun Sabah di tangga kedua dengan 36 mata, namun tegas Kim Swee kedudukan itu belum selamat dengan berbaki empat perlawanan menyaksikan pasukan lain mengekori rapat.
Kim Swee melihat pasukan seperti Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC (TFC) juga tidak akan memberi laluan mudah untuk terus berada di kelompok tiga terbaik liga.
“Apa-apa sahaja boleh berlaku sebab Sabah dan Negeri Sembilan masih ada empat perlawanan manakala TFC ada lima lagi.
“Jadi, saya percaya kedudukan pasukan mana yang akan layak ke Piala AFC akan kita ketahui selepas perlawanan terakhir di mana semua pasukan saya percaya masih cuba untuk mendapatkan slot itu.
“Untuk saya, saya tidak akan fikirkan kesemua aksi sebab yang penting adalah untuk kita hadapi satu persatu perlawanan di mana kita perlu berada di tahap terbaik agar tidak tercicir mata.
“Dan sudah pasti, pencabar terdekat yang saya rasa sentiasa mengekori rapat adalah Negeri Sembilan dan Terengganu,” katanya.
Sementara itu, pengendali TFC, Nafuzi Zain pula enggan melihat Sabah dan Negeri Sembilan sahaja sebagai pencabar sebaliknya berwaspada dengan Kuala Lumpur City FC.
Tegasnya, TFC juga perlu memastikan finalis Piala FA itu tidak tercicir mata baki perlawanan sekiranya berhasrat layak ke Piala AFC selepas kali terakhir melakukannya musim lalu sebelum kejuaraan tersebut dibatalkan.
“Peluang itu masih terbuka sekarang ini dan yang paling penting adalah kita kena menang dalam semua baki perlawanan.
“Kuala Lumpur pun ada kemungkinan boleh mencabar kedudukan dan sekarang kita tidak boleh nak lihat pasukan yang berada di atas sahaja sebab yang bawah pun sedang mengekori rapat juga.
“Yang penting, selepas aksi final tempoh hari, ia bukanlah pengakhiran untuk pasukan sebab banyak yang kita belajar dan para pemain terutamanya pemain muda juga banyak belajar daripada pengalaman itu.
“Mereka tahu yang paling penting sekarang adalah perlawanan liga untuk layak ke Piala AFC dan akan kembali fokus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!