Buka semula zon aliran bebas di Wang Kelian
PADANG BESAR - Kerajaan negeri Perlis disaran membuka semula zon aliran perdagangan bebas di Wang Kelian untuk merancakkan semula sosioekonomi masyarakat setempat, selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk bagi menambah pendapatan.
Pengerusi Kelab Usahawan dan Pelancongan Perlis (KUPPs), Dr Ammar Hassan berkata, sekiranya kawasan tersebut tidak dibangunkan semula, nama Wang Kelian yang sebelum ini popular sebagai syurga membeli-belah mungkin terkubur.
Menurutnya, sejak zon aliran bebas di pintu sempadan Malaysia-Thailand ditutup pada tahun 2015, kawasan tersebut dilihat sunyi sepi ibarat sebuah pekan mati setelah ratusan gerai perniagaan terbiar begitu sahaja.
“Deretan kedai yang dahulunya meriah dengan kehadiran pengunjung kini terbiar, banyak gerai telah rosak, malah ada yang hanya menunggu masa untuk roboh.
“Saya harap pintu sempadan Wang Kelian dibuka semula untuk destinasi pelancongan supaya rakyat Perlis dapat berniaga seperti dahulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Ammar yang juga Pengerusi Yayasan Keusahawanan Sosial memaklumkan, lebih 100 lot gerai di situ usang termasuk prasarana seperti surau dan tandas terbiar tanpa sebarang penyelenggaraan.
“Sejak pintu sempadan Wang Kelian antara Perlis dan Thailand ditutup, Wang Kelian bertukar menjadi pekan mati.
"Sebelum ini, setiap kali hujung minggu dianggarkan 20 buah bas pelancong dari seluruh negeri bertandang ke Wang Kelian,” ujarnya.
Menurutnya, perniagaan yang diusahakan peniaga tempatan di situ sebelum ini laris kerana ia antara pusat beli-belah terkemuka selain Padang Besar di pintu utama sempadan.
“Kini pintu rezeki mereka tertutup setelah kerajaan menutup pintu sempadan Wang Kelian. Malah ada pengusaha bina homestay termasuk kedai namun ia tidak bermakna kerana pintu sempadan tidak dibuka.
“Kebanyakan penduduk di sini bekerja sebagai pesawah, penoreh getah atau bekerja sendiri. Sekiranya pasar sempadan dibuka, mereka boleh jana pendapatan sampingan dengan berniaga atau membuka kedai makan, sekurang-kurangnya hampir 300 penduduk kampung dapat menikmati tempias ekonomi seperti dahulu,” katanya lagi.
Ammar berkata, tarikan baharu seperti Wang Kelian View Point yang dibangunkan di puncak Bukit Wang Kelian dengan ketinggian 304 meter dari aras laut boleh dijadikan pakej pelancongan menarik untuk menggamit kunjungan pelancong ke Perlis.
“Keadaan berbeza di Wang Pranchan, Thailand yang terletak bersebelahan sempadan negara. Aktiviti gerai niaga di sana kembali rancak dan meriah dengan pengunjung,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya faktor ancaman keselamatan menjadi penghalang untuk zon perdagangan bebas itu dibuka semula, pihaknya menyarankan agar lebih ramai anggota keselamatan ditempatkan di kawasan tersebut.
“Selain pembukaan semula zon aliran bebas, diharap Wang Kelian dapat dibangunkan sepenuhnya sebagai produk pelancongan utama di negeri ini.
“Kawasan bersempadan ini berpotensi untuk dibangunkan dan mampu dirancakkan kembali bagi menarik kehadiran pelancong domestik mahupun antarabangsa khususnya dari Thailand,” katanya.
Ammar memberitahu, KUPPs dan gabungan NGO Perlis turut berhasrat menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin agar cadangan membuka semula pintu sempadan Wang Kelian dipertimbangkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!