UMNO masih tidak aman: Ku Li

Tengku Razaleigh (tengah) bergambar dengan ahli Lembaga Koperasi KGMMB Bhd, Megat Pauzi Ibrahim (dua dari kanan) pada Jumaat.
Tengku Razaleigh (tengah) bergambar dengan ahli Lembaga Koperasi KGMMB Bhd, Megat Pauzi Ibrahim (dua dari kanan) pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - UMNO sehingga kini masih tidak aman kerana perpecahan dalaman yang berterusan berlaku di peringkat negeri dan pusat parti itu.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah mengakui perkara itu dan menyebut ada pihak dalam parti yang tidak sebulat suara serta sering sahaja mencelah atas dasar kepentingan politik.

Menurutnya, keadaan tersebut berlaku ketika parti dipimpin oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Keadaan dulu dan sekarang berbeza kerana zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkuasa selain ada tiga belas parti mendokong pimpinan itu.

“Ahmad Zahid ambil alih, selepas UMNO kalah. Kita kalah bukan saja di peringkat pusat malah di tiap-tiap negeri kecuali Perlis dan Pahang sahaja.

”Ada perpecahan dalam UMNO di negeri-negeri dan di peringkat pusat. Dah tak aman, sampai sekarang tak aman. Ada saja orang nak mencelah tetapi begitulah politik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad (Bhd) ke-24 (2022) di Hotel Grand River View di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, isu-isu semasa termasuk berkait kes-kes mahkamah yang membabitkan ahli politik ketika ini turut menjejaskan sokongan rakyat terhadap UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu, kami selalu merayu supaya ada solidariti untuk wujudkan perpaduan dalam kalangan kami yang tak boleh sesiapa pun mencelah. Kena bulat, kalau berpecah ataupun seorang dua bawa cerita lain tak kuatlah nak lawan musuh.

“Jangka hayat UMNO bergantung kepada rakyat. Kalau rakyat masih sokong UMNO, UMNO akan terus tegak, kuat, dan berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh memberitahu, tidak faham maksud BN yang dikatakan bergerak solo kerana terdapat parti komponen lain dalam BN.

“Sebelum ini, BN dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan ketika itu ada 13 parti komponen dalam BN dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Mereka ada pakatan yang membawa kekuatan masing-masing untuk membantu calon-calon bertanding atas satu logo iaitu BN,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!