Anak mangsa culik kerap menangis

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

TUMPAT - Anak perempuan mangsa penculikan di Kampung Semat Jal di sini sejak Selasa lalu masih trauma dan kerap terbayang kejadian ibunya yang diculik di depan mata sendiri.

Bapa saudaranya yang berusia 25 tahun berkata, remaja berusia 13 tahun itu sering menangis teringatkan kejadian menimpa mangsa, Rosnazirah Mohd Naim, 36.

“Anak saudara saya sering menangis teringatkan kejadian culik itu dan acap kali bertanya dengan saya tentang keadaan ibunya.

“Dia dan bapa saya ada semasa kejadian dan menjadi saksi serta cuba untuk menyelamatkan kakak ketika itu.

“Malahan dia sendiri hampir dilarikan penculik yang memanggilnya ketika dia cuba meminta pertolongan daripada abang saya yang tinggal di rumah bersebelahan,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Menurut lelaki itu, remaja tersebut juga terpaksa dihantar tinggal di tempat lain untuk sementara bagi menggelakkan dia berterusan menangis teringat kejadian itu selain bagi menjaga keselamatannya.

“Dia trauma tengok ibunya diheret penculik.

“Saya berhubung dengannya melalui telefon dan sekali-sekala dia juga ada bertanya kesahihan tohmahan di media sosial,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah pemuda itu, mereka sekeluarga turut berasa takut dan trauma dengan kejadian itu.

“Sebelum kejadian saya memandu untuk keluar dan berselisih dengan kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki kumpulan penculik itu di lorong masuk ke rumah kami sebelum terima panggilan anak saudara memberitahu ibunya diculik.

“Saya sendiri takut untuk membuka pagar rumah dan memastikan sentiasa ditutup kerana bimbang akan keselamatan kami sekeluarga serta kakak yang masih belum ditemui,” katanya.

Tambah lelaki itu, pelbagai tohmahan netizen di media sosial terhadap mangsa juga turut menjejaskan emosi anak saudaranya tersebut.

Pada Selasa lalu, mangsa yang juga ejen jualan kosmetik diculik sekumpulan lelaki dengan menaiki sebuah kereta di hadapan rumahnya pada jam 5.10 petang.

Kejadian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa.

Terdapat penduduk memaklumkan melihat seorang wanita dibawa menaiki bot ke Thailand dan kereta terbabit ditemukan pada jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu.

Susulan itu, polis Kontinjen Kelantan menahan tiga individu berusia 35 hingga 47 tahun termasuk suaminya mangsa bagi membantu siasatan.

Siasatan awal polis mempercayai suami mangsa terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!